TAG META

Wednesday, August 18, 2010

KURSUS PENDEK PENULISAN KREATIF 2010

KURSUS PENDEK PENULISAN KREATIF

TAWARAN KEPADA SESIAPA YANG BERMINAT. TEMPAT ADALAH TERHAD.
KURSUS ADALAH BERBENTUK KELAS TUTORIAL DIMANA ANDA AKAN DIBERI PANDUAN DAN DIBANTU MENGHASILKAN NOVEL YANG BERMUTU.KARYA-KARYA YANG TERBAIK AKAN DIPERTIMBANGKAN UNTUK DIBUKUKAN DI BAWAH SYARIKAT GALERI ILMU SDN BHD.

KOORDINATOR KURSUS ADALAH :

1. PN FATIMAH BT HJ SAIDIN (PENULIS NOVEL DARI DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA)
2. PN NURULSHAMSHI BT HJ SAIDIN (PENULIS NOVEL DARI GALERI ILMU SDN BHD)

YURAN =RM50.00

TARIKH KURSUS = 2, 9, 16, 23 DAN 30 OKTOBER 2010

TEMPAT : MAKMAL KOMPUTER KOLEJ KOMUNITI TASEK GELUGOR, KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI MALAYSIA, 1660, JALAN TELUK AIR TAWAR, TAMAN TELUK AIR TAWAR INDAH, 13050 BUTTERWORTH.

SILA BUAT TEMPAHAN DENGAN MEMBUAT PEMBAYARAN DI KAUNTER KOLEJ KOMUNITI TASEK GELUGOR. SEBARANG PERTANYAAN, SILA HUBUNGI PN FATIMAH SAIDIN DI NOMBOR 016 4629341.

Wednesday, August 11, 2010

Hakikat Ramadhan dan Syawal

Salam wahai teman,

Puasa adalah ujian. Bukan sekadar ujian jasmani seperti menahan lapar dan dahaga dan perkara-perkara yang membatalkannya. Ia juga ujian rohani. Bagaimana menahan sabar, bagaimana menahan marah, bagaimana menahan diri untuk perkara-perkara yang amat disukai oleh nafsu seperti mengumpat dan mendengar umpatan, bagaimana mengekalkan rasa syukur dan redha dengan apa yang ada, bagaimana untuk tidak membazir dengan pembelian yang tidak perlu. Apatah lagi pada musim perayaan ini, berbagai-bagai tawaran disediakan.

Bagaimanakah dapat kita menghadapi semua ini tanpa benteng yang kuat?

Allah sebenarnya menawarkan ganjaran yang lebih hebat pada bulan Ramadhan berbanding tawaran-tawaran dunia yang kita perolehi. Namun kesilapannya ialah, kita telah terlena kerana disogok dengan hal-hal keduniaan dalam menjalankan ibadah kita ini. Kita dikelabui oleh kehebatan dunia yang menipu dan merosakkan. Kita mencampuradukkan urusan-urusan akhirat dengan kebiasaan-kebiasaan dunia yang telah menjadi karat yang melekat di dalam hati. Puasa dan raya kita tidak meriah tanpa hal-hal keduniaan ini. Mungkin kita tidak mengakuinya tapi bayangkan jika Ramadhan tahun ini tiada bunyi mercun, tiada lagu-lagu raya, tiada tawaran-tawaran jualan dan lain-lain. Kita pasti merasakan kelainannya.

Namun hakikatnya kita perlu berubah. Kita tidak boleh membiarkan semua ini terus menerus sebati dalam diri kita. Kita harus membuka lebaran baru iaitu kefahaman erti sebenar Ramadhan dan Aidil Fitri. Kita pasti akan merasai kemanisannya apabila kita telah benar-benar memahami dan isitqamah melaksanakan apa yang sebenarnya dituntut oleh syariat. Sesudah itu kita akan dapat merasai apa sebenarnya yang dianugerahi kepada mereka yang akrab dengan Allah SWT, bukan sekadar kesyahduan dan kemeriahan yang berteraskan nafsu semata-mata...

Monday, August 9, 2010

Manusia dan Ramadhan...

Salam wahai teman,

Ramadhan semakin hampir. Pelbagai reaksi daku lihat pada manusia di sekelilingku. Ada yang gembira, ada yang resah dan ada yang tiadapun menyedari betapa hampirnya Ramadhan itu.

Bagi segolongan manusia, Ramadhan itu begitu penuh bermakna. Makna untuk mereka meluangkan masa dengan semangat yang membara untuk memperbanyakkan amal ibadah. Sebagai bekalan di negeri akhirat. Ramadhan adalah bulan dilipat gandakan pahala. Amalan wajib dan sunat diberi pahala yang berganda-ganda dan kemuncaknya adalah malam Lailatul Qadar. Dan hari lebaran adalah hari untuk golongan ini merayakan kemenangan. Bagi golongfan ini kehadiran Ramadhan dialu-alukan. Pemergiannya ditangisi.

Bagi golongan yang seterusnya. Ramadhan adalah bulan makan. Semua yang terlintas dicari, semua yang terlihat dibeli. Saban petang tangan dipenuhi beg plastik berisi makanan. Padahal bila berbuka sahaja, seteguk minuman dan sepinggan makanan telah lebih dari mencukupi. Lapar mata, kata orang selatan. Namun hakikatnya, nafsu masih bermaharajalela. Syaitan diikat, timbul pula penipu kedua. Itulah nafsu yang menipu. Malam-malan tertentu dipenuhi dengan bufet Ramadhan dihotel-hotel yang menawarkan pelbagai pilihan manakan yang tidak mampu untuk dinamakan, tidak pun pasti status halalnya. Hasilnya, masa ibadat menjadi singkat. Ramadhan bulan ibadat bertukar menjadi bulan tanpa berkat.

Bagi segolongan manusia lain, kehadiran ramadhan ditunggu-tunggu. Inilah masanya untuk mereka menjana seberapa banyak pendapatan. Siang dan malam diletih lelahkan oleh hasilan makanan dan juadah yang pelbagai bentuk dan rasa. Hampirnya raya kesibukan bertambah terasa. Tempahan kuih muih dikejari siang dan malam. Begitu juga tempahan baju raya. Bagi golongan ini Ramadhan adalah bulang yang paling sibuk. Rezeki melimpah ruah. Malang ada diantaranya yang hampir meminggirkan ibadah demi untuk mendapatkan secebis nikmat dunia yang fana ini.

Bagi segolongan lagi, Ramadhan datang dan pergi saban tahun, tiada apa-apa beza. Bagi mereka, hadir atau tidaknya Ramadhan tidak memberi apa-apa makna. Makan dan minum seperti biasa malah menjadi satu keseronokan kerana berjaya menyorokkan dosa yang mereka lakukan. Apa diharap malu pada manusia kerana siapalah manusia jika tiadanya malu pada Rabb yang maha mencipta. Penghujung Ramadhan adalah keseronokan pada mereka kerana Ramadhan akan berlalu pergi. Hari Raya tiada apa makna pada mereka, tiada kegembiraan, semuanya biasa sahaja kerana kegembiraan itu telah dicabut oleh Allah Azzawajalla bagi mereka yang tidak berpuasa.

Duhai teman. Renungilah. Mana satukah pilihan kita???
Wasallam.

Thursday, August 5, 2010

BILA HATI KEKOSONGAN...

Salam wahai teman...

Bila hati kekosongan, kita tercari-cari sesuatu yang akan menceriakan hati ini. Maka banyaklah ruangan 'maya' yang dilayari dan berlalulah masa tanpa kita sedari..

Teringat daku satu kisah;
Bila mana Nabi Musa Alaihisalam memberitahu seorang wanita yang sedang menangisi pemergian anaknya ke alam barzah. Baginda bertanya berapakah umur anak perempuan tua itu. Maka beliau menjawab sekitar 250 tahun umurnya. Maka Nabi Musa bersabda," diakhir zaman umur manusia adalah sekitar 60-70 tahun sahaja". Lantas wanita itu terkejut dan berkata," Jika aku dilahirkan pada zaman itu nescaya tiada yang aku lakukan melainkan beribadah sepanjang masa tarhadap Allah SWT".

Begitu pendek bukan? Begitu pendek umur kita ini. Terlalu pendek untuk membuka empayar perniagaan yang besar-besaran. Yang hasilnya akan menjadi hak waris semata-mata. Terlalu pendek untuk membina rumah yang begitu besar yang pastinya akan ditinggalkan kepada waris kita.

Namun diri ini? apakah yang ada untuk di bawa bersama ke perkhuburan yang begitu sempit??

Semuanya.. semuanya ditinggalkan. apakah yang akan dibawa. Cukupkah untuk penghidupan yang kekal di sana. Astaghfirullah al Azim. Ampunkanlah aku ya Rabbul alamin.

Wasalam.

Wednesday, August 4, 2010

Susahnya Menegakkan Agama..

Salam wahai teman,

Daku baru sahaja membaca blog seorang ustaz pondok yang terkenal di Pasir Tumboh. Benarlah kata ustaz, sabda Nabi SAW yang bermaksud: diakhir zaman, menegakkan agama adalah sukar seumpama menggenggam bara api.

Daku juga masih terlalu jauh untuk mencapai piawaian yang mendekati muslimah sejati. Daku masih kalut dan bergelumang dengan keduniaan yang sungguh berbeza dari apa yang digariskan dalam mazhab Shafie. Namun, daku bertekad, daku tidak akan menunggu sehingga piawaian itu dipenuhi baharu daku akan menyampaikan. Daku akan bermula dari sekarang kerana sesungguhnya hidayah Allah begitu luas. Jika kiranya ada seorang pun yang dibuka Allah akan lubuk hatinya untuk kembali mendekatiNya melalui titipan keyboard komputer ini maka sudah memadai untuk daku berasa syukur.

Duhai teman, jangan berlengah lagi ... dan jangan memberi pelbagai alasan. sampaikanlah ilmu yang baik dan bermanfaat. Usahalah ke arah amar bil makruf dan nahi anil mungkar. Usahakanlah secara berhikmah. Usahalah secara ikram muslimin dengan memuliakan orang tua dan mengasihi kanak-kanak .

Wasalam.

Tuesday, August 3, 2010

Mati Itu Datang Secara Tiba-tiba...

Salam duhai teman,

Mati itu datang secara tiba-tiba. Akhirat itu adalah hampir. Apabila tiba ajal, maka bermulalah akhirat kita. Di sana tiada lagi tempat untuk kita menabur benih, tempat untuk bercucuk tanam, tempat untuk membaja. Yang ada hanyalah tempat untuk mengaut hasil. Hasil dari segala usaha kita selama ini...

Maka apakah yang akan kita tuai di sana?? Padi yang berisi atau lalang yang memenuhi. Ataukah tanah kontang yang tiada rumput sudi menghuni...

Inilah dunia yang penuh kesempitan. Sempit yang menggigit. Dunia yang kita tidak pernah ada masa terluang. Untuk merenungi diri. Memuhasabah perjalanan hidup yang penuh ranjau liku. Kita sering disibukkan dengan semua permasalahan dunia. Masa tidak pernah mencukupi untuk kita. Masalah hari ini belum selesai. Masalah esok melambai..

Inilah pentas cubaan. Pentas dugaan. Dalam kesibukan adakah masa terluang untuk Tuhan??

Wajarkah kita menunggu hingga kita lapang?? Bilakah datangnya lapang itu?? Yang pasti kita tidak pernah sekali lapang kerana sebenarnya kita harus mencari masa dan mengorbankan masa untuk Tuhan kita.

Dan dalam dunia yang sempit menggigit inilah kita beri Penilaian Berterusan (continuous assesment) ....

Sakaratul maut adalah penilaian akhirnya (final exam)...

Markahnya diperolehi di akhirat sana...

Justeru..

Taburlah benih dan semaianmu...

Bajailah dia sehingga mengeluarkan hasil dan mencambahkan benih baru...

Dicelah-celah kesibukan duniamu..

Kerana cambahan baru akan menjadi amal jariahmu...

Tatkala tiada lagi semaian boleh dilakukuan kerana dikau dijemput Ilahi..

Wasalam..

SETIAP HARI ADALAH SIA-SIA TANPA PENAMBAHAN ILMU AKHIRAT

Salam duhai teman,

Setiap hari kita adalah sia-sia. Kenapa? Sia-sia sekiranya tiada sebarang penambahan ilmu yang akan mendekatkan kita kepada Rabbul Jalil. Setiap hari kita jika hanya di isi oleh kerja buat dan rutin seharian, tanpa ada apa-apa yang benar-benar bermanfaat dan boleh dikategorikan sebagai mendekatkan kita kepada Yang Maha Mencipta... apakah hari itu.. itulah hari tanpa makna. Hari yang berlalu tanpa cahaya. Hari yang sia-sia.

Justeru itu duhai teman ..
Dengarlah.. atau perdengarkanlah kepada taulan sekelilingmu akan ilmu-ilmu Allah, hadith-hadith, AlQuran, sunnah-sunnah Rasulmu, pedoman-pedoman Ahlullah, nasihat para ulama dan sebagainya pada setiap hari. Agar semua ini menjadi penghias harimu yang berlalu hambar tanpa bunga-bunga zikir. Ingatan yang tidak putus terhadap Allah SWT.

Maksud hadith Rasulullah SAW yang disampaikan kepada Hazrat Hanzalah R.anhu:

" Sekiranya keadaan kamu sentiasa seperti ini (seperti ketika berada di dalam majlis ilmu Rasulullah SAW, walaupun di luar majlis Nabi SAW ) nescaya malaikat akan bersalam denganmu..."

Duhai teman,
Daku yang berkata ini bukanlah orang yang terbaik untuk menegur kalian. apatah lagi memberi pengajaran-pengajaran. namun, berasaskan prinsip yang telah digenggam oleh Saidina Umar R. anhu. Beliau telah menbawa beberapa orang teman pada petang hari pengislaman beliau. Pada ketika beliau tiada tahu apa-apa mengenai Islam melainkan sedikit, maka daku juga berpegang pada prinsip yang sama... menyampaikan teguran walaupun hampir diri ini tiada mengetahui apa-apa. Ilmu bagai mencelup jejari di dalam lautan yang luas. Setitis yang jatuh itu... itulah yang ada padaku... Sedang yang luas itu adalah ilmu Allah SWT belaka.

Tegasnya, tegur menegur atas kebenaran adalah kewajipan setiap insan walaupun yang menegur adalah lebih lemah dari yang ditegur. Yang ditegur sewajarnya menerima jika teguran itu berasas. Walaupun yang ditegur itu seorang ulama hebat dan yang menegur itu seorang kanak-kanak hingusan yang tiada diketahui punca asalnya...

Wallahualam..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...