TAG META

Sunday, October 31, 2010

Perjuangan Mereka..




Mereka mengharapkan dapat..
Membuat kebaikan
Dengan cara dan fikiran mereka
Sambil menyelam minum air

Dunia mereka tidak ingin ditinggalkan
Gah di jiwa masih bersemi
Payah menarik anak bangsa
Ke arah kebaikan yang mereka ingini
Namun hasilnya tidak menjadi

Kerana apa dihidang
Maka itulah yang dimakan
Kerana dunia yang fana
Akhirat yang kekal
Tak mungkin menghuni di hati yang sama..

Tuesday, October 19, 2010

Awas Anak Muda, Cintamu Mendekatkan Dikau ke Lembah Neraka


Salam wahai adik-adikku sayang,

Manis sungguh alam bercinta bukan? Terasa seolah-olah seluruh alam ini milik kita. Segala-galanya dirancang untuk kita. Semua tentang dirinya terasa indah. Apa yang berlaku di sekeliling menjadi terlalu kecil dan hilang kepentingannya. Tiada yang lebih penting dari perasaan yang sedang dialami. Seakan perasaan itu bagaikan ledakan gunung berapi, begitu panas bahangnya. Segala tanggungjawab penting yang perlu dilaksanakan menjadi ringan dari benak kita. Yang berat hanyalah cinta dan cinta.

Teriknya mentari terasa sejuk apabila dikau disisinya. Masa yang begitu panjang terasa begitu mencemburui dirimu dan dirinya. Pandangan mata-mata yang melihat, bibir-bibir yang menjuih, tidak mampu memberi bekas dihatimu. Tiada berkudis di hati. Perasaan malumu bagaikan sirna. Bagimu hanya satu hati yang perlu dijaga. Itulah hatinya..

Tika dan saat itu, tiada lagi yang dapat menyedarkanmu. Melainkan keputusan Dia Yang Maha Melihat amal perbuatanmu.

Apakah kau sedar bahawa setiap cinta itu ada mukhaddimahnya? Apabila terjadinya sesuatu...Apakah pantas kau menyalahi Tuhanmu bahawa kononnya kau telah ditaqdirkan bercinta?

Tidakkah kau tahu bahawa bermula kerlinganmu itu, yang membuahkan putik hijau yang dikau namakan sebagai berkenan itu, tidak pernah mahu berhenti begitu sahaja. Tidak pernah akan gugur malah menjadi kudup yang kian membesar. Kerana dikau melayani perasaanmu itu. Tidakkkah kau tahu bahawa kudup itu juga pasti tidak akan terjatuh melainkan mengembanglah ia menjadi bunga-bungaan di dalam hatimu. Demikianlah, dilayani olehmu sehingga akhirnya hilang malumu yang selama ini bertahta di hatimu.

Tika itu apa sahaja yang kau lakukan, kau mula menjadi resah akan keadaan dirimu. Keinginanmu adalah untuk tampil terbaik dihadapannya. Adakah semua kepalsuan itu akan terhenti begitu sahaja? Tidak, tidak sama sekali... Kau sebenarnya kini telah terperangkap. Aneh, perangkap ini dikaulah sendiri yang memasangnya..

Lantas, apakah yang berlaku seterusnya. Bunga-bunga ini pasti menghasilkan buah. Ya, buah ini adalah pekerjaanmu yang besar dosanya di sisi Allah SWT. Tidakkah kau takut pada balasan akhirat? Ah, pasti jawapannya tidak. Kerna orang yang takut pada Khaliqnya, tidak akan sama sekali mengerlingkan matanya. Kerana dikhuatiri pada mata itu bakal bertempal dosanya zina.

Apakah buah itu bakal gugur?? Tidak. Tidak juga, malah semakin membesarnya dan menghasilkan benih. Ya disinilah bermulanya kehancuran hidupmu. Yang pada sangkaanmu perkara remeh yang tidak menjadi apa-apa. Yang pada awal sangkaanmu hanyalah bebelan orang tua yang tidak memahami jiwa remajamu. Orang tua yang ketinggalan zamannya. Orang tua yang tidak mengikut peredaran masa. Orang tua yang masih di takuk lama.. Benih itulah yang kau begitu benci sehingga tergamak memperosoknya dalam lubang kumbah yang busuk dan hanyir. Itulah lambang cintamu yang kau agung-agungkan itu....adik sayangku.

Maka siapakah orang-orang yang merana itu. Bukankah kau??.

Dimanakah gunung syurga cintamu yang membara itu. Apakah yang kau bina itu mampu menyelamatkanmu di kala semput dadamu menahan lelah membawa benih zina hasil cinta yang kau tonjolkan pada teman-temanmu itu??

Apakah gunung syurga cinta itu mampu meringankan beban tanggunganmu tika nafasmu semput melahirkan benih yang tidak berdosa itu. Malah, apakah gunung syurga cintamu itu mampu menolongmu tatkala dikau berhadapan dengan Allah Azza Wajalla??

Awas anak muda, walau dikau wanita.. walau dikau pria.. Kau pasti akan menanggung kifarat dosa zinamu itu bermula dari di dunia. Inilah janji Allah SWT kepada para penzina.

Kepada mereka yang teringin mahu mencuba.. Tuhanmu mengatakan bahawa, janganlah kamu mendekati zina. Kenapa tidak saja dikatakan bahawa kamu boleh mencuba tetapi mantapkan imanmu agar tidak terjerumus kepada zina. Kenapa? Kerana pencipta itu lebih mengetahui akan barang yang diciptanya. Kerana penciptamu tahu akan besarnya bahaya cinta itu dan lemahnya jiwa manusia kerananya. Jika tidak diletakkan kepada yang berhak atau didahului sahaja Allah SWT dan RasulNya.

Kepada adikku sayang yang kecewa kerana percintaanmu. Apakah itu sesuatu kegagalan dalam hidupmu? Tidak. Itulah tanda bahawa Allah SWT sayang padamu. Bagi rezeki yang tidak ditaqdirkan untukmu, selamanya tidak akan pernah menjadi milikmu. Dan sakitnya putus cinta itu.. adalah ubat yang pahit buat menyihatkan jiwamu yang sedang sakit. Bersyukurlah akan putusnya cinta itu. Kerana cinta begitu belum berhak untuk kamu kecapi. Selama kamu belum bergelar suami dan isteri..

Tuesday, October 12, 2010

Peringatan Bagi Diri Kita Yang Sering Lupa.


Salam alaikum semua, semoga kalian dalam limpahan rahmat dan perlindungan Allah SWT.

Hidup ini kelihatannya begitu indah. Segala-galanya yang dilalui saban hari begitu menyibukkan dan mengasyikkan. Seolah-olah perjalanan yang bakal dilalui begitu panjang. Seolah-olah dunia ini diciptakan untuk diri kita dan berpihak kepada kepada kita.

Setiap hari kita diperdengarkan dengan pelbagai berita-berita derita, berita-berita kesengsaraan, berita-berita tentang kematian. Namun, itu adalah berita tentang mereka. Tentang orang lain. Bukannya tentang kita.

Kemalangan jalan raya... orang lain yang kena, bukannya kita. H1N1..orang lain yang kena, bukan kita. Selsema burung.. orang lain juga yang kena, bukan kita. Kes bunuh, orang lain juga. Buang bayi..orang lain juga.. kemalangan kerana rempit.. orang lain juga..

Kita masih dapat makan, dapat minum, ada tempat tinggal, dapat belajar dengan sempurna, ada kasih sayang dan hampir segalanya, kita ada. Penderitaan peperangan, penderitaan kemiskinan dan kebuluran adalah sesuatu yang kita percaya tidak akan ditaqdirkan untuk kita..

Sebenarnya, kerana inilah kita menjadi selesa dan terlupa..

Kita sebenarnya hampir tiada persediaan untuk kemungkinan-kemungkinan yang di luar jangkaan kita. Kita lupa bahawa Allah SWT mampu untuk mentaqdirkan sesuatu yang benar-benar akan mengubah untung nasib kita. Kita tiada persediaan untuk sebarang kemungkinan yang teruk. Kita tiada persediaan mental untuk menghadapi kemungkinan seperti itu apatah lagi persediaan fizikal.

Kita terlupa bahawa apabila tsunami menimpa Acheh, tiada seorang manusiapun menjangka ia akan berlaku. Keadaan seperti biasa sahaja. Tiada tanda-tanda. Kalaupun ada yang mengatakan terdapat tanda-tanda, itu semua dinyatakan selepas berlakunya peristiwa itu.

Kita juga terlupa bahawa apabila sesuatu kematian akan terjadi di kalangan keluarga kita, tiada siapa yang menyedarinya, malah banyak juga berlaku keadaan di mana si mati memperkatakan tentang perancangan masa depannya. Namun, cita-cita itu tidak kesampaian. Hanya setelah perginya simati. Baharulah kita menyedari perubahan diri, percakapannya dan lain-lain petanda pemergiannya.

Jarang sekali kita mengambil iktibar bahawa mati itu berlaku secara tiba-tiba...

Dan malang itu tidak berbau...

Di saat kita menyedarinya, kita sebenarnya tidak lagi dapat berbuat apa-apa..

Maka jadilah kita seumpama Teori Katak Rebus:-

Seekor katak begitu selesa berada di dalam takungan, berenang ke sana dan kemari. Walaupen telah diberitahu kepadanya bahawa dia sedang menghadapi bahaya. Dia berada di dalam periuk rebusan. Namun dia menidakkannya kerana merasakan kolam yang direnanginya begitu selesa. Namun apabila katak itu merasa semakin panas, dia tidak dapat melakukan apa-apa lagi kerana dinding periuk lebih panas dan dia langsung tidak mampu memanjatnya melainkan matilah ia di dalam air rebusan itu..

Maka apabila Rasulullah SAW menyatakan bahawa sebijak-bijak manusia adalah yang paling banyak mengingati mati... ramai yang kurang mengambil peduli malah ada juga yang terfikir bahawa banyak mengingati mati akan menyebabkan masyarakat ketinggalan di belakang, mereka akan terperap di masjid-masjid, meniggalkan kehidupan dan menggalakkan kemunduran. Mereka terlupa bahawa orang yang paling banyak mengingati mati adalah orang yang paling kurang membaziri masa hidupnya, paling pandai membuat perancangan hidup, paling bijak membuat keputusan dalam menentukan arah hidupnya, paling betul perkataanya, paling amanah kerja buatnya dan paling banyak beramal dengan segala perintahNya.

Kita sering bertangguh kerana memikirkan bahawa besok masih ada..
Kita menyimpan begitu banyak untuk hari tua..
Kita berhutang untuk membina ruang yang indah dan tahan lama untuk hari-hari depan kita..
Sehingga kita terlupa bahawa...

Semua itu sebenarnya milik waris kita..
Yang kekal milik kita adalah apa-apa pemberian kita di dunia semata-mata keranaNya, inilah yang akan menantikan kita di akhirat sana.
Maka berilah yang terbaik yang kita ada di dunia.
Agar yang terbaik jua kita peroleh di sana.

Wednesday, October 6, 2010

Hadiah Besar Buat Teman Tersayang



Hadiah,
Satu tanda
Dari hati yang cinta,
Kepada dia yang begitu berharga.

Tiada nilainya ia...
Kiranya sekadar satu kurnia,
Bikin khalayak membuka mata.

Hadiah,
Jadinya amat bermakna,
Buat diri pemberi kurnia,
Walau cukup sekadar menerima..
Kuntum senyum penanda bahagia.

Jatuh nilainya ia...
Jika timbal ditanya,
Disebalik kurnia.

Hadiah besar
Buat teman tersayang
Adalah bilamana dirimu
Menadah tangan
Dikala kelam malam
Dikala mimpinya insan
Merintih membayang wajahnya
Dengan titisan mutiara kelopak matamu

Mengharap kebaikan dilimpah Tuhan pada dirinya.

Tiada manusia yang melihat
Tiada siapa menyangka
Tiada siapa memuji
Tiada siapa

Kerana hadiah yang satu ini
Tertutup kemas
Berbalut rapi
Darimu
Khas buat
Dirinya yang begitu berharga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...