TAG META

Showing posts with label ILMU. Show all posts
Showing posts with label ILMU. Show all posts

Saturday, November 13, 2010

Tawaduk: Contoh, kepentingan dan Cara Memperolehinya



Salam buat semua pembaca, mudah-mudahan dalam taufiq dan hidayahNya.

Apakah itu tawaduk?


Tawaduk adalah memilih jalan tengah di antara dua sikap yang tidak baik dan membinasakan iaitu sikap membesarkan diri (takbur /sombong) dan sifat terlalu merendah diri yang memberi kesan kehinaan kepada diri seseorang. Sikap tawaduk ini juga boleh diertikan sebagai meletakkan sesuatu/ mengambil sesuatu tindakan bersesuaian dengan keadaannya. Tawaduk adalah sikap merendah diri yang bersumber rasa memiliki kekuatan, kemuliaan, penghormatan pada orang lain, dan bukannya rendah diri yang bersumber dari rasa memiliki kekurangan, kelemahan, kehinaan, dan keperluan kepada orang lain (inferiority complex). Sikap ini adalah sifat yang mulia warisan nabi-nabi, rasul-rasul, sahabat dan tabiin sejak zaman dahulu kala. Sikap ini haruslah bersandarkan pada niat yang ikhlas kerana ada kalanya manusia bersikap tawaduk namun tertipu oleh syaitan kerana di dalam hatinya masih terselit keinginan bahawa perbuatannya itu dipandang mulia oleh manusia lain.

Keadaan bagaimanakah yang menunjukkan bahawa seseorang itu memiliki sifat tawaduk?

Kebiasaannya seseorang yang memiliki sifat tawaduk akan berfikir, berperasaan dan mengambil tindakan-tindakan seumpama berikut:

1. Menerima dengan redha ketetapan dan taqdir Allah SWT kepada dirinya walaupun dilihat tidak bersesuaian dengan kehendak dirinya sendiri.

2. Bersangka baik dengan Allah SWT dengan menganggap bahawa sesuatu ketentuan itu adalah untuk kebaikan dirinya. Seorang itu juga perlu memahami bahawa disebalik sesuatu kebaikan yang akan dikurniakan kemudian, pasti terlebih dahulu dikurniakan dugaan.

3. Mentaati perintah dan hukum Allah SWT tanpa mempersoal atau memprotes. Contoh yang sering dibahaskan adalah mengenai kewajipan menutup aurat, poligami dan hukum hudud dan qisas.

4. Mengerjakan amal fardhu dan sunat dengan merendah diri dan mengharap amalan itu diterima oleh Allah SWT.

5. Mengaitkan atau mengembalikan setiap pujian yang diberikan kepada Allah SWT dengan mengucapkan syukur kepada Allah ( Alhamdulillah) dengan kefahaman yang jelas dan bukan sekadar kebiasaan /retorik.

6. Mendahulukan suruhan Allah SWT dari hal-hal keduniaan dan kepentingan diri sendiri. Contohnya apabila terdengar laungan azan, kita patutlah menunaikan solat terlebih dahulu daripada meneruskan kerja dunia kita.

7. Memuliakan Rasulullah SAW dan sunnah baginda SAW (surah, sirah, sarirah) dengan mengamalkannya dan tidak beranggapan bahawa sunnah itu sesuatu yang telah lapuk dan tidak sesuai lagi diaplikasikan di zaman ini.

8. Tidak bersikap sombong kepada golongan yang lebih lemah atau rendah dari kita seperti melayan acuh tidak acuh tetamu yang kelihatan kampungan tetapi memberi layanan istimewa kepada tetamu yang bergaya dan berbahasa inggeris ketika bertanya.

9. Bercampur gaul dengan semua golongan masyarakat tanpa mengira tahap dan kedudukan mereka. Di dalam konteks pekerjaan, seorang ketua yang tawaduk biasanya kita mendapati dirinya mudah didekati oleh golongan yang rendah darinya seperti tukang sapu, budak pejabat, kerani dan dalam masa yang sama beliau juga mudah bergaul bersama golongan atasan dan rakan sejawatnya.

10. Tidak menganiayai orang lain.
Penganiayaan yang jelas sukar kita lihat dewasa kini namun keadaan ini tetap berlaku tanpa kita sedari contohnya seorang ketua memilih calon yang berkaitan dengan dirinya atau lebih menarik wajahnya sedangkan calon-calon lain lebih bersedia dan layak daripada calon pilihannya.

11. Tidak menunjuk-nunjuk ketinggian ilmu dan kemahiran kepada orang ramai seperti memperlekehkan hasil kerja orang lain dan membandingkan dengan hasil kerja sendiri.

12. Tidak bertengkar atau berbahas-bahas tentang perbezaan pandangan kumpulan masing-masing seolah-olah tidak ada jalan tengah diantaranya ataupun menganggap golongan lain kafir dan murtad.

13. Menghormati guru yang menyampaikan ilmu walaupun mempunyai pandangan yang berbeza dengan guru berkenaan dengan menunaikan hak mendengar terlebih dahulu.

14. Merasakan perlu kepada orang yang diberi khidmat (ditolong ) dan bukannya merasakan orang lain memerlukan dirinya dan tanpa dirinya semua kerja tidak dapat dilakukan (penyakit perasaan ujub).

15. Menerima teguran dengan hati yang terbuka walaupun yang menegur adalah orang yang lebih rendah status / superiority dari dirinya umpamanya seorang kanak-kanak atau tukang cuci.

16. Sanggup menerima pertolongan dan bantuan dari seorang yang dianggap musuh/ tidak digemari (membuang ego diri).

17. Menerima kenyataan bahawa seorang yang lain lebih baik dari dirinya.

18. Mengaku kesalahan diri dan meminta maaf. Tidak menganggap bahawa memberi maaf itu petanda kalah atau kelemahan diri dan lebih mengutamakan memperbaiki hubungan dari menegakkan kebenaran.

19. Bermuzakarah secara profesional dan tidak menyerang peribadi lawan untuk menjatuhkannya.

20. Memuliakan orang alim dan mendahulukan mereka dalam setiap perkara.

21 Tidak memperlihatkan harta kekayaan yang dimiliki dengan tujuan menandingi orang lain.

22. Tidak berbangga-bangga dengan kecintaan seseorang terhadap dirinya. Umpamanya seorang isteri yang suaminya berpoligami tidak perlu menunjukkan kecintaan suaminya terhadap dirinya kepada madunya.

23. Tidak taksub dengan pendapat kumpulan sendiri sehingga menutup pintu muzakarah atau menyebabkan orang lain sukar /tidak berani menegur kesalahan kita.

23. Tidak mencari alasan untuk menghalalkan apa-apa kesalahan yang telah dilakukan dengan mengemukakan pendapat pihak-pihak lain yang menyokong.

Apakah kepentingan tawaduk?

Seorang yang memilik sifat tawaduk akan:

1. Mendapat keredaan dan rahmat dari Allah SWT di dunia dan diakhirat.
2. Ilmu yang dipelajari dari mana-mana guru mudah masuk meresap ke dalam hati.
3. Menggalakkan pengamalan dari ilmu yang diperolehi dan bukannya sekadar bahan untuk perbahasan bagi menunjukkan kelancaran lidah dan ketinggian ilmu.
4. Membuka jalan untuk melihat kesilapan diri sekaligus memperbaiki dan memajukan diri.
6. Disenangi ramai orang.
7. Dihormati teman dan musuh.
8. Dijauhi dari sifat bongkak dan sombong.
9. Rezeki dari sumber yang suci dan tiada unsur penganiayaan.
10. Contoh dan ikutan kepada orang lain untuk meperbaiki diri.
11. Mendapat darjat ibadah yang tinggi.


Bagaimanakah mendapatkan sifat tawaduk?

1. Tidak taksub dengan pendapat kumpulan sendiri sehingga menutup pintu muzakarah atau menyebabkan orang lain sukar menegur kesalahan kita.

2. Memandang kebaikan orang lain walaupun kelemahan orang itu terlampau banyak berbanding kebaikannya.

3. Melihat kelemahan diri sendiri walaupun mempunyai pelbagai kelebihan yang diiktiraf ramai orang.

4. Menjadikan kritikan musuh sebagai cermin untuk melihat kelemahan diri sendiri.

5. Memahami bahawa sesuatu kejayaan tidak akan kita perolehi tanpa izin dari Allah SWT.

6. Membiasakan diri mengaitkan sesuatu kebaikan yang kita perolehi dengan kekuasaan dan keizinan dari Allah SWT dan bukannya asbab usaha diri kita sendiri.

5. Berkawan dengan orang yang lemah/kekurangan berbanding diri kita untuk menimbulkan rasa syukur (bukan untuk membangga diri) dan memuliakan mereka bukannya untuk membenamkan lagi perasaan rendah diri yang mereka sedia ada.

6. Mengamalkan sunnah dengan hidup sederhana dan tidak bermewah-mewah dengan keindahan dan harta dunia.

7. Mengurangkan perhiasan dan kemasan di dalam rumah kerana dikuatiri dengan pujian dari tetamu akan menimbulkan rasa bangga diri dan lalai dengan percakapan dunia.

8. Merujuk sesuatu permasalahan kepada orang yang lebih berpengalaman atau lebih tua sebelum mengambil keputusan.

9. Mengambilkira pandangan staf atau rakan sepejabat sebelum sesuatu keputusan diambil ditempat kerja dan tidak menggunakan kuasa untuk memaksa mereka melakukan sesuatu yang membebankan atau diluar kemampuan mereka.

10. Menghormati hak jiran tetangga dan elakkan kelakuan yang menyakiti hati mereka.

11. Elakkan membiasakan diri dengan helah bela diri (defend mechanism). Contoh helah bela diri adalah seseorang itu mengemukakan satu pendapat, apabila dilihatnya orang lain tidak menyokongnya, maka dia memberi apa-apa dalih untuk menyokong dirinya tetapi tidak pula mengaku kelemahan pendapat atau tindakannya.

12. Sentiasa beranggapan bahawa seseorang yang kelihatan jahil dan lalai itu berpotensi untuk menjadi lebih baik dari diri anda dan mungkin dipilih Allah untuk berada di kalangan orang yang dikasihiNya.

13. Tidak menghina orang lain atas kejahilan dan kelemahan mereka dan sentiasa menganggap bahawa mereka mempunyai alasan atau latar belakang yang tidak menyokong mereka untuk mengambil tindakan yang betul.

14. Memenuhi undangan walaupun sipengundang menjemput anda atas perantaraan orang lain dan redha dengan apa sahaja makanan yang dihidangkan.

15. Membiasakan diri melakukan setiap pekerjaan sendiri atau membantu pembantu rumah sekiranya mereka letih.

16. Menghormati suami walaupun si isteri lebih berpelajaran dan bergaji besar berbanding si suami.

Sebenarnya banyak lagi isi yang boleh didapati oleh seseorang yang lebih teliti daripada saya. Namun bagi diri saya yang tidak berkelapangan dan kekurangan ilmu ini, hanya ini sahaja dapat saya titipkan untuk tatapan kita bersama di samping mengambil teladan dari kebaikan sekiranya ada.

Segala yang baik itu dari Allah SWT dan yang lemah itu dari diriku sendiri. Wasalam.

Wednesday, September 29, 2010

Tips Mengurangkan Gangguan Syaitan di Rumah.

Gambar ehsan google images-sekadar hiasan

Syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia. Namun kehadirannya jarang sekali disedari oleh manusia. Kehadiran syaitan di rumah memang sukar dielak, tetapi kita sebenarnya berupaya mengurangkan gangguan mereka dengan mengamalkan beberapa saranan ulama.

Siapakah yang diistilahkan sebagai syaitan?

Mereka terdiri iblis dan kuncu-kuncunya, jin dan manusia. Di dalam Al Quran ada menyebut tentang syaitan yang terdiri dari jin manusia. Golongan ini adalah golongan yang 'engkar' kepada Allah SWT. Di dalam konteks rumah kediaman, syaitan boleh terdiri dari 3 golongan di atas.

Apakah yang akan terjadi sekiranya kita membiarkan syaitan bermaharajalela di rumah kita?

Keadaan yang biasa berlaku akibat gangguan syaitan adalah begini:

Mula-mula amal ibadat dilalaikan dan ditinggalkan. Solat dilewat-lewatkan. Quran semakin jarang disentuh. Kita akan mula berasa tidak selesa untuk tinggal di rumah kita. Suami isteri lebih berminat dengan laman facebook dan twitter daripada berbual sesama sendiri . Semakin dibiarkan, perhubungan suami isteri menjadi dingin , anak-anak mula bercakaran, rumah berasa 'panas' walaupun penghawa dingin dipasang. Hati merasa kosong dan mulalah mencari hiburan samada di dalam atau di luar rumah. Televisyen menjadi tuan guru tempat kita merapak sembah. Rumah yang begitu indah dihias tidak dapat memberi apa yang kita mahu. Rumah menjadi hotel untuk tempat tidur semata-mata. Anak-anak mula mencari jalan untuk keluar rumah ataupun mengisi masa terluang dengan permainan komputer yang melalaikan.

Keadaan yang berlaku akibat gangguan jin biasanya begini :

Penghuni rumah sering terlihat lintasan atau kelibat yang tidak dapat dipastikan. Tinggal di rumah sendiri pun rasa kurang selesa. Sering berasa seram dan takut. Gangguan bunyi-bunyian yang menyeramkan. Takut apabila gelap dan lain-lain lagi. Terdengar bisikan-bisikan pelik yang menyuruh kepada perkara yang tidak baik. Akhirnya terpaksa dibawa berubat dan dipagar oleh pawang dan bomoh.

Gangguan akibat dari 'syaitan manusia' boleh terjadi begini:

Sering berlaku kehilangan barang. Rumah seringkali dipecah masuk. Umpat keji dan fitnah di kejiranan. Gangguan seksual yang tidak sepatutnya, sumbang mahram atau seks luar tabie. Banyak perkara haram berlaku di dalam rumah.

Banyak perkara sebenarnya boleh berlaku. Tidak perlu diperjelaskan kerana kita sendiri telah maklum dengan semua kejadian yang 'tidak patut' yang boleh berlaku di dalam rumah. Kita juga sedia maklum perkara ini kerana sering diwar-warkan melalui media massa. Sedangkan usaha kita untuk mengambil tahu perkara buruk ini tidak pula memberi apa-apa kebaikan kepada kita.

Apa yang kita perlu tahu adalah bagaimana cara penyelesaiannya.

Ulama sedia menggariskan beberapa cara yang dapat kita amalkan di dalam rumah kita( selain daripada amalan wajib yang kita lakukan), kita dapat beramal dengan amalan di bawah ini:

1. Memenuhi rumah dengan zikir dan bacaan Al Quran.

2. Mengadakan majlis-majlis ilmu. Ini boleh dilakukan setiap hari dengan mengumpulkan seluruh ahli keluarga dan membaca kitab Fadhail Amal (Fadhilat amal) karya Maulana Zakaria Kandahlawi. Kitab ini mutawatir, digunakan di seluruh dunia dan tidak memerlukan guru untuk memperdengarkannya. Berbanding kelas pengajian yang memerlukan guru yang tentunya
tidak dapat dibuat di rumah pada setiap hari.

Majlis ilmu mengundang malaikat ke dalam rumah kita dan dengan kehadiran malaikat, syaitan akan pergi. Pemergian syaitan akan menyuburkan bi'ah solehah dalam rumah kita.

3. Mengurangkan hiburan yang melalaikan. Hiburan adalah pengundang syaitan yang utama dan menyebabkan malaikat pergi.

4. Mengamalkan adab dan sunnah-sunnah dalam kehidupan. Sunnah Rasulullah adalah asbab kejayaan di dunia dan diakhirat dan bukti bahawa kita sentiasa mengasihi Rasulullah SAW dan mengingati Allah SWT.

5. Jangan melakukan perkara yang disukai syaitan seperti perkara yang haram.

6. Membiarkan rumah di dalam keadaan kotor kerana ini akan menyukakan jin. Sunnah meletakkan kain buruk di luar rumah. Pinggan mangkuk yang tidak sempat dicuci (jika hendak dibiarkan semalaman) hendaklah diasingkan sisa makanan dan dibuang sisa tersebut.

7. Elakkan mandi dalam keadaan berbogel kerana ini akan menyukakan jin.

8. Elakkan masuk bilik air sewaktu azan maghrib.

9. Elakkan mengumpat dan bercakap keji.

10. Membuat perkara yang tidak baik disisi Alaah SWT.

Banyak lagi saranan ulama yang boleh kita ambil. Hanya sedikit yang dapat saya catitkan. Moga apa yang saya catitkan ini dapat kita ambil iktibar darinya dan dapat kita sama-sama amalkan dan sampaikan.

Monday, August 9, 2010

Manusia dan Ramadhan...

Salam wahai teman,

Ramadhan semakin hampir. Pelbagai reaksi daku lihat pada manusia di sekelilingku. Ada yang gembira, ada yang resah dan ada yang tiadapun menyedari betapa hampirnya Ramadhan itu.

Bagi segolongan manusia, Ramadhan itu begitu penuh bermakna. Makna untuk mereka meluangkan masa dengan semangat yang membara untuk memperbanyakkan amal ibadah. Sebagai bekalan di negeri akhirat. Ramadhan adalah bulan dilipat gandakan pahala. Amalan wajib dan sunat diberi pahala yang berganda-ganda dan kemuncaknya adalah malam Lailatul Qadar. Dan hari lebaran adalah hari untuk golongan ini merayakan kemenangan. Bagi golongfan ini kehadiran Ramadhan dialu-alukan. Pemergiannya ditangisi.

Bagi golongan yang seterusnya. Ramadhan adalah bulan makan. Semua yang terlintas dicari, semua yang terlihat dibeli. Saban petang tangan dipenuhi beg plastik berisi makanan. Padahal bila berbuka sahaja, seteguk minuman dan sepinggan makanan telah lebih dari mencukupi. Lapar mata, kata orang selatan. Namun hakikatnya, nafsu masih bermaharajalela. Syaitan diikat, timbul pula penipu kedua. Itulah nafsu yang menipu. Malam-malan tertentu dipenuhi dengan bufet Ramadhan dihotel-hotel yang menawarkan pelbagai pilihan manakan yang tidak mampu untuk dinamakan, tidak pun pasti status halalnya. Hasilnya, masa ibadat menjadi singkat. Ramadhan bulan ibadat bertukar menjadi bulan tanpa berkat.

Bagi segolongan manusia lain, kehadiran ramadhan ditunggu-tunggu. Inilah masanya untuk mereka menjana seberapa banyak pendapatan. Siang dan malam diletih lelahkan oleh hasilan makanan dan juadah yang pelbagai bentuk dan rasa. Hampirnya raya kesibukan bertambah terasa. Tempahan kuih muih dikejari siang dan malam. Begitu juga tempahan baju raya. Bagi golongan ini Ramadhan adalah bulang yang paling sibuk. Rezeki melimpah ruah. Malang ada diantaranya yang hampir meminggirkan ibadah demi untuk mendapatkan secebis nikmat dunia yang fana ini.

Bagi segolongan lagi, Ramadhan datang dan pergi saban tahun, tiada apa-apa beza. Bagi mereka, hadir atau tidaknya Ramadhan tidak memberi apa-apa makna. Makan dan minum seperti biasa malah menjadi satu keseronokan kerana berjaya menyorokkan dosa yang mereka lakukan. Apa diharap malu pada manusia kerana siapalah manusia jika tiadanya malu pada Rabb yang maha mencipta. Penghujung Ramadhan adalah keseronokan pada mereka kerana Ramadhan akan berlalu pergi. Hari Raya tiada apa makna pada mereka, tiada kegembiraan, semuanya biasa sahaja kerana kegembiraan itu telah dicabut oleh Allah Azzawajalla bagi mereka yang tidak berpuasa.

Duhai teman. Renungilah. Mana satukah pilihan kita???
Wasallam.

Tuesday, August 3, 2010

SETIAP HARI ADALAH SIA-SIA TANPA PENAMBAHAN ILMU AKHIRAT

Salam duhai teman,

Setiap hari kita adalah sia-sia. Kenapa? Sia-sia sekiranya tiada sebarang penambahan ilmu yang akan mendekatkan kita kepada Rabbul Jalil. Setiap hari kita jika hanya di isi oleh kerja buat dan rutin seharian, tanpa ada apa-apa yang benar-benar bermanfaat dan boleh dikategorikan sebagai mendekatkan kita kepada Yang Maha Mencipta... apakah hari itu.. itulah hari tanpa makna. Hari yang berlalu tanpa cahaya. Hari yang sia-sia.

Justeru itu duhai teman ..
Dengarlah.. atau perdengarkanlah kepada taulan sekelilingmu akan ilmu-ilmu Allah, hadith-hadith, AlQuran, sunnah-sunnah Rasulmu, pedoman-pedoman Ahlullah, nasihat para ulama dan sebagainya pada setiap hari. Agar semua ini menjadi penghias harimu yang berlalu hambar tanpa bunga-bunga zikir. Ingatan yang tidak putus terhadap Allah SWT.

Maksud hadith Rasulullah SAW yang disampaikan kepada Hazrat Hanzalah R.anhu:

" Sekiranya keadaan kamu sentiasa seperti ini (seperti ketika berada di dalam majlis ilmu Rasulullah SAW, walaupun di luar majlis Nabi SAW ) nescaya malaikat akan bersalam denganmu..."

Duhai teman,
Daku yang berkata ini bukanlah orang yang terbaik untuk menegur kalian. apatah lagi memberi pengajaran-pengajaran. namun, berasaskan prinsip yang telah digenggam oleh Saidina Umar R. anhu. Beliau telah menbawa beberapa orang teman pada petang hari pengislaman beliau. Pada ketika beliau tiada tahu apa-apa mengenai Islam melainkan sedikit, maka daku juga berpegang pada prinsip yang sama... menyampaikan teguran walaupun hampir diri ini tiada mengetahui apa-apa. Ilmu bagai mencelup jejari di dalam lautan yang luas. Setitis yang jatuh itu... itulah yang ada padaku... Sedang yang luas itu adalah ilmu Allah SWT belaka.

Tegasnya, tegur menegur atas kebenaran adalah kewajipan setiap insan walaupun yang menegur adalah lebih lemah dari yang ditegur. Yang ditegur sewajarnya menerima jika teguran itu berasas. Walaupun yang ditegur itu seorang ulama hebat dan yang menegur itu seorang kanak-kanak hingusan yang tiada diketahui punca asalnya...

Wallahualam..

Thursday, July 22, 2010

RENUNGKANLAH WAHAI TEMAN..

Salam,

Teman, apakah yang kita cari di dalam hidup ini? Adakah kita dilahirkan ke dunia ini hanya untuk menjalani hidup sebagaimana biasa dan mati begitu sahaja? Apakah yang wajar kita lakukan bagi mendapatkan semaksimum mungkin manfaat di dalam kehidupan yang begitu singkat ini?

Fikirkanlah teman, fikirkan...

Sewajarnya kita mengaut seberapa banyak contoh daripada perjalanan hidup Ahlullah yang telah sekian lama mendahului kita menjejaki maya pada ini dan meninggalkan kita menghadap Rabb Yang Maha Esa. Nama-nama seperti Imam Syafie RAH, Imam Hanafi RAH, imam Ghazali RAH. Kita rasakan seolah-olah mereka baharu sahaja meninggalkan kita. Kenapa? Kerana mereka telah meningalkan jejak yang kekal di maya pada ini. Hasil-hasil karya yang ulung dan menjadi panduan sepanjang hidup kita. Itulah yang kita perlu lakukan. Sebagai seorang insan yang pernah menghirup udara dunia. Memberi seberapa banyak peringatan dan pengajaran berguna kepada generasi mendatang. Agar segenap mayapada ini memperolehi manfaatnya. Dan kita pasti memperoleh kebaikannya semasa di sana. Di alam kekal yang tiada noktahnya. Kita lalukan ini bukanlah kerana nama, tetapi demi kerana cinta... cinta agama, cinta hamba kepada Khaliqnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...