TAG META

Saturday, September 25, 2010

Wahai Kaum Wanita, Andalah Pemangkin/Pembantut Perjuangan Suamimu

Salam buat kaum wanita sekalian,

Apakah peranan kita sebagai 'co driver' suami kita dalam melayari bahtera? Cukupkah sekadar membantu pengurusan rumahtangga, mendidik anak dan melayani mereka?

Ya, kita bisa memasuki syurga kiranya sekalian di atas kita usahakan dengan penuh rela dan ikhlas. Namun, di manakah suami kita?? Cukupkah sekadar kita di syurga, sedang mereka bergelutan di lembah-lembah neraka??

Apakah tugas suami kita sebenarnya?? Cari pendapatan, memberi nafkah, menjalani kehidupan dan akhirnya meningalkan dunia yang fana ini...

Malang sekali jika inilah tanggapan kita.

Tanpa perjalanan dahwah di sepanjang hidup ini, tanpa perjuangan memartabatkan agama... dikhuatiri kita tidak dapat melepasi titian sirat..

Terlampau ramai tangan yang akan menuntut hak mereka lantas membantutkan perjalanan kita di titian yang tajam bak mata pedang itu..Lantas kita terjerumus di lembah yang hina dan penuh siksa.

Kita dan mereka harus sama-sama berada dalam landasan dakwah. Kita wanita berdakwah di dalam ruang lingkup rumah dan kepada kaum wanita lain. Dan mereka para suami harus dilepaskan pergi berjuang di luar sana, mungkin meninggalkan kita atas nama agama.

Jangan tahan mereka...

Sahabiah sanggup memotong hidung mereka hanya kerana hidung itu panghalang perjuangan suami mereka. Sanggup mencabar suami dengan kata2 yang membakar semangat agar suami-suami mereka keluar berjihad walaupun mereka sedar suami mereka cacat dan tempang.
Dan mereka juga berbangga dengan kesyahidan suami mereka.

Bagaimana dengan kita. Sanggupkah ditinggal suami untuk keluar berjuang?

Wahai kaum wanita,
Di dunia kita berpisah dengan suami tercinta, di akhirat kita menunggu mereka 1000 tahun lebih awal di syurga, dengan hiasan dan pakaian yang indah. Sekiranya kita menggalakkan mereka keluar berjuang dan kita juga berjuang bersama mereka.

Di dunia kita berpisah dengan suami tercinta, di akhirat kita menunggu mereka 500 tahun lebih awal di syurga. Sekiranya kita menggalakkan mereka keluar berjuang, tetapi kita tidak ikut serta.

Sekiranya kita tidak memberi galakan langsung, tetapi mereka tetap mahu pergi berjuang??? Tinggallah mereka di syurga dilayani bidadari yang cantik jelita. Kita??

Jauh terbuang tidak dapat sedikitpun menghampiri mereka. Hanya melihat dari jauh sahaja. Terpisah kerana sikap malas dan ego yang hanya sementara di dunia.

Justeru, bantulah perjuangan suamimu dalam jalan dakwah. Luangkan masa untuk kerja dakwah. Kerana berdakwah adalah wajib untuk setiap insan di maya pada ini, bukannya fardhu kifayah.

Friday, September 24, 2010

Gurindam Rasa Untuk Dia Yang Ku Kasihi

Buat Dia Yang Kudamba

Kala jiwa mekar berbunga
Subur mengharum membaja rasa
Kalimat lazim manis terasa
Luahan hati mengetar jiwa

Manis gula hempedu pahit
Adat resmi rumahtangga
Sedang lidah lagikan tergigit
Ini pula dua jiwa

Kadang jiwa merintih hiba
Kadang iri menelan peka
Sungguh bukan kerana benci
kerna cinta menghuni hati

Sabar itu kerana kasih
Sabar itu kerana setia
Tatkala sabar berubah letih
Hati terjeruk cairlah mata

Namun resah sedetik cuma
Pujuk rayu meruntun hati
Kala rindu menggamit jiwa
Wajah terpandang bagai purnama

Buat abang yang kudamba
kupagari kasih kupahat cinta
Kubaja ia hidup berbunga
Mekar ia terkubur tiada
Agar segar ia di dunia
Kekal abadi di akhirat sana.

Sajak dariku untuk pelajar di malam penutup suaikenal

KEMBALIKAN DAKU KE BUMI
(jgn baca tajuk ini kecuali diakhir sajak)

1. (Bunyi latar suara cengkerik dan unggas)

2. (Sunyi. Sesekali bunyi desiran angin dan titisan hujan)

Sedar.
Tersedar dari tidur nan panjang..
Sepi mencengkam....
Dingin mengigit... ke tulang hitam..

Kelam.
Begitu kelam...
Tiada kelihatan bagaikan malam
Tiada sekelumit cahaya hadir meneman
Tarkapai-kapai dalam kegelapan.

Takut.
Begitu hampir bunyi desiran
Bagai menghulur lembaran salam
Wahai... siapakah gerangan?
Degup jantung memecah kesunyian.
Bagai memecah seluruh perkarangan.
Jerit batin siapakan kedengaran?

3. (musik)

DIMANAKAH AKUUUU????

Ibuuu..ibuuu, dimanakah dikau ibu???
Ayahhh... ayahhh, dimanakah dikau ayah??
Oh, dimanakah aku? Di mana?

(bunyi desiran)

Oh! Apakah itu???
Aduh! Apakah yang membelitku... Ular..Ularkah??
(Bunyi nafas tercungap2)
Aduh! Apa pulakah ini, begitu sakit menyengatiku.. Kalakah?
Aduh, sungguh berbisa, aduh.. aku tidak tahannn..

PERGI! PERGI! PERGI! JANGAN GANGGU AKU.. TINGGALKAN AKUUU...



Ahh.. apakah ini yang membaluti??
Bagaimana harus aku gerakkkan diri??
Sedang mereka semakin menghapiri.

Kenapakah aku disini?? Dan siapakah mereka yang menghampiri??

ADAKAH AKU TELAH... KEMBALI??

Ibu... ayah... tolong daku..(menangis teresak-esak...) tolong.. aku belum mahu pergi..

Seketika ingatan menerjah..
Tika dunia terasa indah..dipeluk dosa terasa megah
Malaikatul maut hadir menerjah
Tungganganku teralih arah..

Dan...
Ruh melambai tanda berpisah..
Pulanglah daku ke alam barzah.
Raungan ibu tangisan ayah
Mengiring pergi sekujur tubuh...
Yang belum mahu menghuni tanah.

Tika talkin selesai sudah
Pulanglah mereka kembali ke rumah.

JANGAN TINGGALKAN AKUUU...

Ibu...
Di manakah ibu yang selama ini sedia membantu?
Ibu yang menyediakan santapan buatku?
Yang meninggalkan tidurnya kerana ku?
Tatkala sakit menyapa hidupku?
Menyapu air membasahi tubuhku?
Akibat suhu tidak menentu.

Ibu.. Yang murah senyuman walau hamburan ku lafazkan.
Yang begitu sabar walau amukan ku hadiahkan
Begitu tabah walau hanya rungutan kedengaran..
Dari bibir ini yang tidak kenal erti penghargaan.

Ibu,
Yang menjagaku dari setapak dua jarinya
Hingga begitu gagah daku menghayun langkah
Telah kuucap permisi pada timangannya
Telah kulambai pergi sura lunak nasihatnya
Kubiar diri ditimang gelombang hidup menghancur punah
Sehingga diri ini memilih jalan yang salah,
Dan dirimu hanya mengungkapkan ... ANAK BERTUAH.

Di mana ayah,
Ayah yang keringatnya diperah
Demi rezeki yang penuh berkah
Dinihari hingga senja menjengah
Dan peluhnya pecah
Demi tangan yang sentiasa menadah.

Ayah yang iikat perutnya
Demi melihatku bersekolah
Dan kejayaan menjadi harapan
Dari hari berganti bulan,
Dari bulan beralih tahun
Pabila dewasa menjengah
Anak remaja berpaling arah
Harapan ayah hancur punah.

Ayah tua dimamah usia
Di hati ini dirinya tiada harga
Melainkan seteru dijadikan punca
Tiada apa yang manis dimata
Rajuk amukku mematah kata
Sering dibanding dia dan mereka
Ayah temanku yang berharta
Apa dipinta ditunai saja.

Di mana guru?
Guru-guruku..
Begitu mengambil berat perihalku
Namun tida yang manis bagiku
Yang pada saat itu
Tidak buta dimata
Tetapi buta hati di dalam dada.

Guru
Yang suruhannya merupakan leteran bagiku
Undang-undangannya dilanggar.. kemegahan bagiku
Penilaiannya merimaskan diriku
Nasihatnya menembusi telingaku
Janji-janjinya permainan bagi ku
Lenggok gayanya gurauan bagiku
Kelembutannya... ruang kesempatan bagiku
Kesilapannya tawaan bagiku
Marahnya seteru bagiku
Itulah guru..
Yang begitu terdidik dan berilmu
Namun begitu merendah diri mendidikku
Mengheret dan memujukku ke gerbang ilmu
Namun begitu sangkaku
Mereka sibodoh caturan permainanku

DUP! DUP! DUP!
Bunyi apakah itu??
Tolonglah.. jangan hampiriku..
Ahhh ... begitu gelap... begitu ngeri.. begitu seram..
Oh, siapakah yang dapat membantu??

Ah, pemuda itu, pemuda yang dijanjikan menunggu.
Di manakah dia dijanjikan menanti simati? Di manakah dia?

Dia yang dijanjikan Allah sebagai peneman
Pada mereka yang tika hayatnya mengangkat martabat Al Quran
Sebagai teman karib dikala susah dan senang
Di kala sepi dan riuh, di kala sibuk dan lapang
Dialah Al Quran jelmaan.. pemuda berwajah tampan
Menunggu dipenghujung kafan
Hingga hadir Hari Kebangkitan.

Oh.. sungguh malang.. tiada hadirnya dia..
Kerna daku tiada layak mendapatkannya
Bagitu lama kutinggalkan naskah itu
Menjadi perhiasan dunia yang penih debu
Tidak kusentuh sedemikian lama
Tidak pernah terucap dibibir
Tidak pernah tersemat disanubari
Bibir yang hanya dihiasi dendangan lagu
Alpa dan laqo..

Lalu diriku kini dikerumuni ular dan kala
Yang menggigit dan mengeluarkan bisanya
Begitu berbisa
Hingga jika setitis jatuh kebumi
Nescaya tiada rumput yang sudi menghuni

Solahku,
Yang tidak pernah menjadi kerisauan bagiku
Tidak lebih dari arahan kuno
Dalam hidupku yang terpalit dosa

Dahi ini
Hampir tidak pernah memcecah sejadah
Wajah ini tidak pernah mencecah ke tanah
Tidak kuhirau leteran ibu ayah
Hari demi hari berlalu sudah
Daku teru terusan merafaq sembah
Menghadap kotak empat segi di sudut rumah
Yang siang dan malam tidak jemu
Menjamu hiburan limpah melimpah.

Aduhhh
Sakit. Bagitu sakit..
Kubur yang menghimpit..
Ahh.. tetulangku berceragah...
Dihimpit kuburan yang sempit.

Wahai... benarlah
Sabda Rasul
Kuburan adalah taman-taman syurga
Bagi mereka yang bersiap sedia
Dan lubang bagi lembah-lembah neraka
Bagi diriku yang alpa.

ADUHHHH...
Ular-ular berbisa ini mematukku
Kala hadir manggigitku...
Siapakah yang mahu membantuuu..

TUHAN... TUHAN...OH TUHAN
HANTARKAN KEMBALI DAKU KE BUMI...

Terdengar laungan azan
Menyedarkan tidurku yang panjang
Ahh, Daku bermimpi!!!

Syukur
Syukur kehadrat ilahi
Kerana masih berpeluang lagi
Daku akan merobah taqdir hidup ini
Daku akan merobah langkah ini
Walau ranjau dan onak menerjah
Walau taufan menongkah
Walau bahang mentari memerah
Keringat terus membasah
Daku tak akan goyah

Ibu
Bantulah diriku
Bantulah daku dengan senyumanmu
Yang beriring sendu
Dengan kesihmu yang tak kunjung layu
Dengan doamu yang tak pernah jemu
Daku padamkan coretan hitam yang lalu

Ayah
Ampuni daku..halalkan makan minumku
Keredhaanmu adalah berkat dalam kidupku
Keampunanmu adalah kunci kejayaan ku
Kan ku hiasi tinta coratan ini dangan nafas yang baharu
Langkah yang jitu

Guru-guru
Akan kujunjung bait katamu
Sebagai pedoman hari depanku
Agar tidak terulang keembali
Kesilapan yang dahulu
Kerna sabda Nabi
Orang yang beriman.. tidak akan dipatuk ular dari lubang yang sama.. 2 kali..

Wednesday, August 18, 2010

KURSUS PENDEK PENULISAN KREATIF 2010

KURSUS PENDEK PENULISAN KREATIF

TAWARAN KEPADA SESIAPA YANG BERMINAT. TEMPAT ADALAH TERHAD.
KURSUS ADALAH BERBENTUK KELAS TUTORIAL DIMANA ANDA AKAN DIBERI PANDUAN DAN DIBANTU MENGHASILKAN NOVEL YANG BERMUTU.KARYA-KARYA YANG TERBAIK AKAN DIPERTIMBANGKAN UNTUK DIBUKUKAN DI BAWAH SYARIKAT GALERI ILMU SDN BHD.

KOORDINATOR KURSUS ADALAH :

1. PN FATIMAH BT HJ SAIDIN (PENULIS NOVEL DARI DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA)
2. PN NURULSHAMSHI BT HJ SAIDIN (PENULIS NOVEL DARI GALERI ILMU SDN BHD)

YURAN =RM50.00

TARIKH KURSUS = 2, 9, 16, 23 DAN 30 OKTOBER 2010

TEMPAT : MAKMAL KOMPUTER KOLEJ KOMUNITI TASEK GELUGOR, KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI MALAYSIA, 1660, JALAN TELUK AIR TAWAR, TAMAN TELUK AIR TAWAR INDAH, 13050 BUTTERWORTH.

SILA BUAT TEMPAHAN DENGAN MEMBUAT PEMBAYARAN DI KAUNTER KOLEJ KOMUNITI TASEK GELUGOR. SEBARANG PERTANYAAN, SILA HUBUNGI PN FATIMAH SAIDIN DI NOMBOR 016 4629341.

Wednesday, August 11, 2010

Hakikat Ramadhan dan Syawal

Salam wahai teman,

Puasa adalah ujian. Bukan sekadar ujian jasmani seperti menahan lapar dan dahaga dan perkara-perkara yang membatalkannya. Ia juga ujian rohani. Bagaimana menahan sabar, bagaimana menahan marah, bagaimana menahan diri untuk perkara-perkara yang amat disukai oleh nafsu seperti mengumpat dan mendengar umpatan, bagaimana mengekalkan rasa syukur dan redha dengan apa yang ada, bagaimana untuk tidak membazir dengan pembelian yang tidak perlu. Apatah lagi pada musim perayaan ini, berbagai-bagai tawaran disediakan.

Bagaimanakah dapat kita menghadapi semua ini tanpa benteng yang kuat?

Allah sebenarnya menawarkan ganjaran yang lebih hebat pada bulan Ramadhan berbanding tawaran-tawaran dunia yang kita perolehi. Namun kesilapannya ialah, kita telah terlena kerana disogok dengan hal-hal keduniaan dalam menjalankan ibadah kita ini. Kita dikelabui oleh kehebatan dunia yang menipu dan merosakkan. Kita mencampuradukkan urusan-urusan akhirat dengan kebiasaan-kebiasaan dunia yang telah menjadi karat yang melekat di dalam hati. Puasa dan raya kita tidak meriah tanpa hal-hal keduniaan ini. Mungkin kita tidak mengakuinya tapi bayangkan jika Ramadhan tahun ini tiada bunyi mercun, tiada lagu-lagu raya, tiada tawaran-tawaran jualan dan lain-lain. Kita pasti merasakan kelainannya.

Namun hakikatnya kita perlu berubah. Kita tidak boleh membiarkan semua ini terus menerus sebati dalam diri kita. Kita harus membuka lebaran baru iaitu kefahaman erti sebenar Ramadhan dan Aidil Fitri. Kita pasti akan merasai kemanisannya apabila kita telah benar-benar memahami dan isitqamah melaksanakan apa yang sebenarnya dituntut oleh syariat. Sesudah itu kita akan dapat merasai apa sebenarnya yang dianugerahi kepada mereka yang akrab dengan Allah SWT, bukan sekadar kesyahduan dan kemeriahan yang berteraskan nafsu semata-mata...

Monday, August 9, 2010

Manusia dan Ramadhan...

Salam wahai teman,

Ramadhan semakin hampir. Pelbagai reaksi daku lihat pada manusia di sekelilingku. Ada yang gembira, ada yang resah dan ada yang tiadapun menyedari betapa hampirnya Ramadhan itu.

Bagi segolongan manusia, Ramadhan itu begitu penuh bermakna. Makna untuk mereka meluangkan masa dengan semangat yang membara untuk memperbanyakkan amal ibadah. Sebagai bekalan di negeri akhirat. Ramadhan adalah bulan dilipat gandakan pahala. Amalan wajib dan sunat diberi pahala yang berganda-ganda dan kemuncaknya adalah malam Lailatul Qadar. Dan hari lebaran adalah hari untuk golongan ini merayakan kemenangan. Bagi golongfan ini kehadiran Ramadhan dialu-alukan. Pemergiannya ditangisi.

Bagi golongan yang seterusnya. Ramadhan adalah bulan makan. Semua yang terlintas dicari, semua yang terlihat dibeli. Saban petang tangan dipenuhi beg plastik berisi makanan. Padahal bila berbuka sahaja, seteguk minuman dan sepinggan makanan telah lebih dari mencukupi. Lapar mata, kata orang selatan. Namun hakikatnya, nafsu masih bermaharajalela. Syaitan diikat, timbul pula penipu kedua. Itulah nafsu yang menipu. Malam-malan tertentu dipenuhi dengan bufet Ramadhan dihotel-hotel yang menawarkan pelbagai pilihan manakan yang tidak mampu untuk dinamakan, tidak pun pasti status halalnya. Hasilnya, masa ibadat menjadi singkat. Ramadhan bulan ibadat bertukar menjadi bulan tanpa berkat.

Bagi segolongan manusia lain, kehadiran ramadhan ditunggu-tunggu. Inilah masanya untuk mereka menjana seberapa banyak pendapatan. Siang dan malam diletih lelahkan oleh hasilan makanan dan juadah yang pelbagai bentuk dan rasa. Hampirnya raya kesibukan bertambah terasa. Tempahan kuih muih dikejari siang dan malam. Begitu juga tempahan baju raya. Bagi golongan ini Ramadhan adalah bulang yang paling sibuk. Rezeki melimpah ruah. Malang ada diantaranya yang hampir meminggirkan ibadah demi untuk mendapatkan secebis nikmat dunia yang fana ini.

Bagi segolongan lagi, Ramadhan datang dan pergi saban tahun, tiada apa-apa beza. Bagi mereka, hadir atau tidaknya Ramadhan tidak memberi apa-apa makna. Makan dan minum seperti biasa malah menjadi satu keseronokan kerana berjaya menyorokkan dosa yang mereka lakukan. Apa diharap malu pada manusia kerana siapalah manusia jika tiadanya malu pada Rabb yang maha mencipta. Penghujung Ramadhan adalah keseronokan pada mereka kerana Ramadhan akan berlalu pergi. Hari Raya tiada apa makna pada mereka, tiada kegembiraan, semuanya biasa sahaja kerana kegembiraan itu telah dicabut oleh Allah Azzawajalla bagi mereka yang tidak berpuasa.

Duhai teman. Renungilah. Mana satukah pilihan kita???
Wasallam.

Thursday, August 5, 2010

BILA HATI KEKOSONGAN...

Salam wahai teman...

Bila hati kekosongan, kita tercari-cari sesuatu yang akan menceriakan hati ini. Maka banyaklah ruangan 'maya' yang dilayari dan berlalulah masa tanpa kita sedari..

Teringat daku satu kisah;
Bila mana Nabi Musa Alaihisalam memberitahu seorang wanita yang sedang menangisi pemergian anaknya ke alam barzah. Baginda bertanya berapakah umur anak perempuan tua itu. Maka beliau menjawab sekitar 250 tahun umurnya. Maka Nabi Musa bersabda," diakhir zaman umur manusia adalah sekitar 60-70 tahun sahaja". Lantas wanita itu terkejut dan berkata," Jika aku dilahirkan pada zaman itu nescaya tiada yang aku lakukan melainkan beribadah sepanjang masa tarhadap Allah SWT".

Begitu pendek bukan? Begitu pendek umur kita ini. Terlalu pendek untuk membuka empayar perniagaan yang besar-besaran. Yang hasilnya akan menjadi hak waris semata-mata. Terlalu pendek untuk membina rumah yang begitu besar yang pastinya akan ditinggalkan kepada waris kita.

Namun diri ini? apakah yang ada untuk di bawa bersama ke perkhuburan yang begitu sempit??

Semuanya.. semuanya ditinggalkan. apakah yang akan dibawa. Cukupkah untuk penghidupan yang kekal di sana. Astaghfirullah al Azim. Ampunkanlah aku ya Rabbul alamin.

Wasalam.

Wednesday, August 4, 2010

Susahnya Menegakkan Agama..

Salam wahai teman,

Daku baru sahaja membaca blog seorang ustaz pondok yang terkenal di Pasir Tumboh. Benarlah kata ustaz, sabda Nabi SAW yang bermaksud: diakhir zaman, menegakkan agama adalah sukar seumpama menggenggam bara api.

Daku juga masih terlalu jauh untuk mencapai piawaian yang mendekati muslimah sejati. Daku masih kalut dan bergelumang dengan keduniaan yang sungguh berbeza dari apa yang digariskan dalam mazhab Shafie. Namun, daku bertekad, daku tidak akan menunggu sehingga piawaian itu dipenuhi baharu daku akan menyampaikan. Daku akan bermula dari sekarang kerana sesungguhnya hidayah Allah begitu luas. Jika kiranya ada seorang pun yang dibuka Allah akan lubuk hatinya untuk kembali mendekatiNya melalui titipan keyboard komputer ini maka sudah memadai untuk daku berasa syukur.

Duhai teman, jangan berlengah lagi ... dan jangan memberi pelbagai alasan. sampaikanlah ilmu yang baik dan bermanfaat. Usahalah ke arah amar bil makruf dan nahi anil mungkar. Usahakanlah secara berhikmah. Usahalah secara ikram muslimin dengan memuliakan orang tua dan mengasihi kanak-kanak .

Wasalam.

Tuesday, August 3, 2010

Mati Itu Datang Secara Tiba-tiba...

Salam duhai teman,

Mati itu datang secara tiba-tiba. Akhirat itu adalah hampir. Apabila tiba ajal, maka bermulalah akhirat kita. Di sana tiada lagi tempat untuk kita menabur benih, tempat untuk bercucuk tanam, tempat untuk membaja. Yang ada hanyalah tempat untuk mengaut hasil. Hasil dari segala usaha kita selama ini...

Maka apakah yang akan kita tuai di sana?? Padi yang berisi atau lalang yang memenuhi. Ataukah tanah kontang yang tiada rumput sudi menghuni...

Inilah dunia yang penuh kesempitan. Sempit yang menggigit. Dunia yang kita tidak pernah ada masa terluang. Untuk merenungi diri. Memuhasabah perjalanan hidup yang penuh ranjau liku. Kita sering disibukkan dengan semua permasalahan dunia. Masa tidak pernah mencukupi untuk kita. Masalah hari ini belum selesai. Masalah esok melambai..

Inilah pentas cubaan. Pentas dugaan. Dalam kesibukan adakah masa terluang untuk Tuhan??

Wajarkah kita menunggu hingga kita lapang?? Bilakah datangnya lapang itu?? Yang pasti kita tidak pernah sekali lapang kerana sebenarnya kita harus mencari masa dan mengorbankan masa untuk Tuhan kita.

Dan dalam dunia yang sempit menggigit inilah kita beri Penilaian Berterusan (continuous assesment) ....

Sakaratul maut adalah penilaian akhirnya (final exam)...

Markahnya diperolehi di akhirat sana...

Justeru..

Taburlah benih dan semaianmu...

Bajailah dia sehingga mengeluarkan hasil dan mencambahkan benih baru...

Dicelah-celah kesibukan duniamu..

Kerana cambahan baru akan menjadi amal jariahmu...

Tatkala tiada lagi semaian boleh dilakukuan kerana dikau dijemput Ilahi..

Wasalam..

SETIAP HARI ADALAH SIA-SIA TANPA PENAMBAHAN ILMU AKHIRAT

Salam duhai teman,

Setiap hari kita adalah sia-sia. Kenapa? Sia-sia sekiranya tiada sebarang penambahan ilmu yang akan mendekatkan kita kepada Rabbul Jalil. Setiap hari kita jika hanya di isi oleh kerja buat dan rutin seharian, tanpa ada apa-apa yang benar-benar bermanfaat dan boleh dikategorikan sebagai mendekatkan kita kepada Yang Maha Mencipta... apakah hari itu.. itulah hari tanpa makna. Hari yang berlalu tanpa cahaya. Hari yang sia-sia.

Justeru itu duhai teman ..
Dengarlah.. atau perdengarkanlah kepada taulan sekelilingmu akan ilmu-ilmu Allah, hadith-hadith, AlQuran, sunnah-sunnah Rasulmu, pedoman-pedoman Ahlullah, nasihat para ulama dan sebagainya pada setiap hari. Agar semua ini menjadi penghias harimu yang berlalu hambar tanpa bunga-bunga zikir. Ingatan yang tidak putus terhadap Allah SWT.

Maksud hadith Rasulullah SAW yang disampaikan kepada Hazrat Hanzalah R.anhu:

" Sekiranya keadaan kamu sentiasa seperti ini (seperti ketika berada di dalam majlis ilmu Rasulullah SAW, walaupun di luar majlis Nabi SAW ) nescaya malaikat akan bersalam denganmu..."

Duhai teman,
Daku yang berkata ini bukanlah orang yang terbaik untuk menegur kalian. apatah lagi memberi pengajaran-pengajaran. namun, berasaskan prinsip yang telah digenggam oleh Saidina Umar R. anhu. Beliau telah menbawa beberapa orang teman pada petang hari pengislaman beliau. Pada ketika beliau tiada tahu apa-apa mengenai Islam melainkan sedikit, maka daku juga berpegang pada prinsip yang sama... menyampaikan teguran walaupun hampir diri ini tiada mengetahui apa-apa. Ilmu bagai mencelup jejari di dalam lautan yang luas. Setitis yang jatuh itu... itulah yang ada padaku... Sedang yang luas itu adalah ilmu Allah SWT belaka.

Tegasnya, tegur menegur atas kebenaran adalah kewajipan setiap insan walaupun yang menegur adalah lebih lemah dari yang ditegur. Yang ditegur sewajarnya menerima jika teguran itu berasas. Walaupun yang ditegur itu seorang ulama hebat dan yang menegur itu seorang kanak-kanak hingusan yang tiada diketahui punca asalnya...

Wallahualam..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...