TAG META

Tuesday, October 19, 2010

Awas Anak Muda, Cintamu Mendekatkan Dikau ke Lembah Neraka


Salam wahai adik-adikku sayang,

Manis sungguh alam bercinta bukan? Terasa seolah-olah seluruh alam ini milik kita. Segala-galanya dirancang untuk kita. Semua tentang dirinya terasa indah. Apa yang berlaku di sekeliling menjadi terlalu kecil dan hilang kepentingannya. Tiada yang lebih penting dari perasaan yang sedang dialami. Seakan perasaan itu bagaikan ledakan gunung berapi, begitu panas bahangnya. Segala tanggungjawab penting yang perlu dilaksanakan menjadi ringan dari benak kita. Yang berat hanyalah cinta dan cinta.

Teriknya mentari terasa sejuk apabila dikau disisinya. Masa yang begitu panjang terasa begitu mencemburui dirimu dan dirinya. Pandangan mata-mata yang melihat, bibir-bibir yang menjuih, tidak mampu memberi bekas dihatimu. Tiada berkudis di hati. Perasaan malumu bagaikan sirna. Bagimu hanya satu hati yang perlu dijaga. Itulah hatinya..

Tika dan saat itu, tiada lagi yang dapat menyedarkanmu. Melainkan keputusan Dia Yang Maha Melihat amal perbuatanmu.

Apakah kau sedar bahawa setiap cinta itu ada mukhaddimahnya? Apabila terjadinya sesuatu...Apakah pantas kau menyalahi Tuhanmu bahawa kononnya kau telah ditaqdirkan bercinta?

Tidakkah kau tahu bahawa bermula kerlinganmu itu, yang membuahkan putik hijau yang dikau namakan sebagai berkenan itu, tidak pernah mahu berhenti begitu sahaja. Tidak pernah akan gugur malah menjadi kudup yang kian membesar. Kerana dikau melayani perasaanmu itu. Tidakkkah kau tahu bahawa kudup itu juga pasti tidak akan terjatuh melainkan mengembanglah ia menjadi bunga-bungaan di dalam hatimu. Demikianlah, dilayani olehmu sehingga akhirnya hilang malumu yang selama ini bertahta di hatimu.

Tika itu apa sahaja yang kau lakukan, kau mula menjadi resah akan keadaan dirimu. Keinginanmu adalah untuk tampil terbaik dihadapannya. Adakah semua kepalsuan itu akan terhenti begitu sahaja? Tidak, tidak sama sekali... Kau sebenarnya kini telah terperangkap. Aneh, perangkap ini dikaulah sendiri yang memasangnya..

Lantas, apakah yang berlaku seterusnya. Bunga-bunga ini pasti menghasilkan buah. Ya, buah ini adalah pekerjaanmu yang besar dosanya di sisi Allah SWT. Tidakkah kau takut pada balasan akhirat? Ah, pasti jawapannya tidak. Kerna orang yang takut pada Khaliqnya, tidak akan sama sekali mengerlingkan matanya. Kerana dikhuatiri pada mata itu bakal bertempal dosanya zina.

Apakah buah itu bakal gugur?? Tidak. Tidak juga, malah semakin membesarnya dan menghasilkan benih. Ya disinilah bermulanya kehancuran hidupmu. Yang pada sangkaanmu perkara remeh yang tidak menjadi apa-apa. Yang pada awal sangkaanmu hanyalah bebelan orang tua yang tidak memahami jiwa remajamu. Orang tua yang ketinggalan zamannya. Orang tua yang tidak mengikut peredaran masa. Orang tua yang masih di takuk lama.. Benih itulah yang kau begitu benci sehingga tergamak memperosoknya dalam lubang kumbah yang busuk dan hanyir. Itulah lambang cintamu yang kau agung-agungkan itu....adik sayangku.

Maka siapakah orang-orang yang merana itu. Bukankah kau??.

Dimanakah gunung syurga cintamu yang membara itu. Apakah yang kau bina itu mampu menyelamatkanmu di kala semput dadamu menahan lelah membawa benih zina hasil cinta yang kau tonjolkan pada teman-temanmu itu??

Apakah gunung syurga cinta itu mampu meringankan beban tanggunganmu tika nafasmu semput melahirkan benih yang tidak berdosa itu. Malah, apakah gunung syurga cintamu itu mampu menolongmu tatkala dikau berhadapan dengan Allah Azza Wajalla??

Awas anak muda, walau dikau wanita.. walau dikau pria.. Kau pasti akan menanggung kifarat dosa zinamu itu bermula dari di dunia. Inilah janji Allah SWT kepada para penzina.

Kepada mereka yang teringin mahu mencuba.. Tuhanmu mengatakan bahawa, janganlah kamu mendekati zina. Kenapa tidak saja dikatakan bahawa kamu boleh mencuba tetapi mantapkan imanmu agar tidak terjerumus kepada zina. Kenapa? Kerana pencipta itu lebih mengetahui akan barang yang diciptanya. Kerana penciptamu tahu akan besarnya bahaya cinta itu dan lemahnya jiwa manusia kerananya. Jika tidak diletakkan kepada yang berhak atau didahului sahaja Allah SWT dan RasulNya.

Kepada adikku sayang yang kecewa kerana percintaanmu. Apakah itu sesuatu kegagalan dalam hidupmu? Tidak. Itulah tanda bahawa Allah SWT sayang padamu. Bagi rezeki yang tidak ditaqdirkan untukmu, selamanya tidak akan pernah menjadi milikmu. Dan sakitnya putus cinta itu.. adalah ubat yang pahit buat menyihatkan jiwamu yang sedang sakit. Bersyukurlah akan putusnya cinta itu. Kerana cinta begitu belum berhak untuk kamu kecapi. Selama kamu belum bergelar suami dan isteri..

2 comments:

  1. Bagus betul artikel ini. Terima kasih...

    ReplyDelete
  2. Sama-sama. Cuba hantag kat majalah solusi tp kena tegor sbb dah masukkan dalam blog.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...