TAG META

Saturday, September 25, 2010

Awasi Niat Kita

Salam wahai teman,

Sesungguhnya setiap pekerjaan itu bermula dengan niat. Sekian lama kita telah diajar cara-cara berniat di dalam ibadah khusus yang kita lakukan. Kita begitu mahir tentang perkara ini sehinggakan kita terkeliru tentang sah atau tidaknya amalan kita tanpa niat yang sempurna ayatnya.

Kenapa kita diajar berniat dengan sempurna untuk melakukan ibadah khusus seperti puasa dan solat? Bukankah lintasan yang menggerakkan kita untuk melakuan sesuatu itu juga adalah niat?

Benar kita berniat. Untuk melakukan sesuatu. Dan kita lakukannya. Tetapi niat itu tidak sempurna jika hanya berniat untuk melakukannya... tanpa adanya satu unsur penting iaitu kerana ALLAH Taala. Kerana itulah ulama mengajar kita ayat yang sempurna iaitu sahaja aku (melakukan ibadah) kerana ALLAH TAALA.

Unsur 'ALLAH TAALA' itulah yang membezakan apakah nilainya amalan yang kita lakukan.

Apakah niat begini hanya tertentu untuk ibadah khusus sahaja?

Ya, kita sering kali terlupa bahawa sekelian apa yang kita amalkan akan menjadi ibadah sekiranya kita berniat kerana ALLAH SWT.

Bagaimana pula amalan yang kita lakukan tanpa niat? Maka merugilah kita kerana tiada nilainya di sisi ALLAH SWT.

Bagaimana pula jika kita lakukan dengan niat selain dari ALLAH SWT?

Disitulah datangnya riak, syirik kecil yang kita amat sukar untuk mengenal pasti kewujudannya. Amalan begini adalah tidak ikhlas. Sesungguhnya sekiranya kita meletakkan makhluk sebagai asbab kita melakukan sesuatu maka di akhirat nanti ALLAH SWT akan berlepas tangan terhadap perkara tersebut. Maka pintalah kita syafaat daripada makhluk yang padanya kita meletakkan pengharapan kita itu. Nauzubillah... perihal ini benar-benar menakutkan saya.

Apakah sebenarnya yang ingin saya nukilkan tentang niat kita yang perlu diawasi?

Sebaiknya setiap kali kita melakukan sesuatu (bukan ibadah khusus, apalagi ibadah wajib. Ibadah khusus wajar dijadikan amalan, kalaupun permulaannya kita tidak ikhlas, sekiranya kita istiqamah dan memohon doa, maka InsyaALLAH satu hari nanti hakikat ikhlas akan dikurniakan pada kita), apa yang saya maksudkan adalah pekerjaan rutin atau harian, periksalah niat kita dan istiqfarlah pada Allah banyak-banyak sekiranya terdapat gangguan hati.
Jika perkara yang kita lakukan itu sukar diikhlaskan hati. Lebih baik jangan lakukannya supaya tidak dipertanggungjawabkan diakhirat kelak.

Contoh saya berikan di sini, contoh ini jelas:

Bertabarruj ke tempat kerja (make-up). Cuba anda niat dalam hati:
"Aku bermake-up ni semata-mata kerana Allah SWT" .

Boleh atau tidak? Maksudnya bolehkah make-up yang anda lakukan saban hari itu disabitkan kerana Allah Taala? Atau make-up untuk kelihatan cantik, dengan itu ORANG akan lihat cantik. Lihat di situ... ada unsur ORANG bukan. Orang bukan tuhan. Orang adalah makhluk. Agak-agaknya apakah yang kita nak jawab di akhirat nanti?

Atau contoh lain, yang ini lebih samar..

Menyambung pengajian ke peringkat PhD. Kerana apa? Kerana mahu digelar doktor atau untuk berbakti kepada masyarakat kerana ALLAH SWT. Sukar bukan? Antara dua niat ini hanya dipisahkan oleh satu garisan yang amat tipis. Namun niat sebenarnya membuahkan hasil. Hasil yang kita dapat adalah selari dengan niat. Orang yang berniat kerana Allah akan membuat tindakan yang berbeza berbanding orang yang berniat kerana selain dari ALLAH.

Bagaimana dengan contoh ini? Menjadi penghibur di pentas.
Sebenarnya perkara yang syubhah adalah sukar untuk disabitkan kerana ALLAH SWT. Begitu sukar, walaupun untuk hiburan Islam seperti nasyid. Namun bagi kita manusia. Tugas kita bukanlah menghakimi apakah niat seseorang. Kerana sesungguhnya keikhlasan itu adalah rahsia ALLAH SWT. Malaikat pencatit juga tidak mengetahui niat di hati kita. Kita hendaklah berbaik sangka kecuali jika terlihat jelas haram.

Beginilah sekadar untuk memperingati diri saya sendiri yang seringkali alpa..

Salam permisi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...