TAG META

Wednesday, January 5, 2011

Tanam Padi Tumbuh Lalang - Asbab Kegagalan Dakwah

google image

Salam pada semua yang membaca. 

Kakak doakan agar kalian semua dalam limpahan rahmat, sakinah dan maghfirah dari Allah SWT, ceria dan berbahagia.

Sangat lama kakak memendam keinginan untuk menulis topik ini. Namun, momentum untuk menulis tentang ini sangat lemah. Ini adalah kerana topik ini adalah satu topik besar yang tidak layak bagi seorang seperti kakak menulisnya. Apatah lagi kakak tiada sebarang kelayakan rasmi yang membolehkan para pembaca untuk thiqah dengan apa yang kakak akan nyatakan. Yang ada pada kakak adalah pengalaman yang begitu lama berkecimpung di dalam medan dakwah dan pendidikan. Untuk kali ini kakak bukan sahaja mahu berbincang tentang dakwah secara spesifik tetapi juga kakak perluaskan kepada aspek pendidikan yang kakak terlibat secara langsung sekarang ini. Apa yang kakak tulis pada hari ini adalah hasil pengalaman dan pemerhatian kakak serta info yang kakak dapati melalui majlis ilmu yang kakak hadiri.

Dewasa kini kita lihat kerja-kerja dakwah dan pendidikan dijalankan tanpa putus-putus oleh pelbagai pihak, baik secara sukarela mahupun sebagai kerjaya sepenuh masa. Namun dalam konteks Malaysia ini, kita juga dapat saksikan kemungkaran yang begitu dahsyat, bermaharajalela dan amat sukar dikawal. Tidak perlulah kakak panjangkan apa bentuk kemungkaran itu kerana kakak yakin kita semua sedia maklum. Kita melihat badan-badan ngo dakwah menggunakan pelbagai kaedah untuk menyampaikan dakwah. Segala teknik, pendekatan, pedagogi dan lain-lain telah diguna pakai. Itu tidak termasuk lagi ceramah dan penulisan di media massa, media cetak, internet, blog-blog dan lain-lain. Guru-guru di sekolah pula tidak jemu-jemu mendidik. Namun kita dapati, peringkat sekolahlah paling banyak bermulanya benih-benih kemungkaran ini. Bak kata pepatah, bagaikan mencurah air di daun keladi. Kakak tidak nafikan hasil itu ada tetapi jika dibandingkan dengan kemungkaran yang tumbuh bercambah, jumlahnya memang jauh berbeza.

Pernahkan kita terfikir dimanakah silapnya?

Bermula dari penelitian kakak sebagai seorang pendidik kepada pelajar yang rata-rata tergolong di kalangan  anak remaja serta apa yang kakak dengari dari majlis ilmu, kakak menyenaraikan beberapa perkara yang boleh diklasifikasikan sebagai asbab kegagalan dakwah ini:

1. Kepimpinan Melalui Teladan

Ayat di atas terlalu biasa kita dengari sehingga menjadi retorik. Namun maksud disebaliknya adalah sangat mendalam dan penting. Bagaimana mungkin seorang pendidik yang mengajar pelajarnya supaya berpakaian mengikut etika pakaian, menutup aurat dan bersopan dapat menerapkan nilai ini jika diluar waktu kerja dia juga berpakaian menjolok mata? Tidak percaya? Inilah yang sering kakak lihat berlaku di hadapan mata kakak dewasa kini. Guru ini memahami bahawa tugas mendidiknya hanyalah pada waktu bekerja sahaja. Di luar waktu dia adalah manusia lain dan mungkin tidak mahu dikaitkan dengan kerjayanya itu. Maka apakah hasilnya apabila pelajarnya nampak keadaan dirinya itu? 
Bak kata pepatah, 'guru kencing berdiri, murid kencing berlari'. Jika guru melanggar batasan maka pelajarnya pasti lebih dahsyat dari itu.

2. Kurang Penerapan Kasih Sayang
Dalam konteks pendidikan, kasih sayang adalah begitu penting. Apatah lagi  dalam konteks dakwah. Apabila kita ingin mengubah seseorang dari satu keadaan kepada satu keadaan yang lebih baik dan mengikut landasan Islam, kita harus melakukannya dengan cara yang penuh hikmah dan sabar. Kita sepatutnya cuba meletakkan diri kita di tempat anak didik kita, bagaimanakah kita mahu kesilapan kita diperbetulkan? Adakah dengan cara yang kasar, sindiran, atau sekadar menyatakan kesilapan tetapi tidak menunjukkan jalan? Kita perlu menjalankannya dalam keadaan penuh prihatin, hikmah dan sabar. Prihatin, hikmah dan  sabar ini dapat hadir secara semulajadi jika kita ada perasaan sayang kepada anak didik kita ini. Anak didik kita sebenarnya dapat mengesan akan perasaan sayang kita pada mereka dan mereka dengan sukarela akan datang kepada kita.  Inilah kekuatan naluri manusia. Cuba lihat berapa orang pelajarkah yang mahu berjumpa guru disiplin untuk menceritakan masalah mereka berbanding ustazah dan guru perempuan yang lembut lembai dan baik? Tidak ada satu jalan untuk memperbetulkan keadaan dengan cara paksaan, kemarahan dan kebencian.

3. Matlamat Menghalalkan Cara
Seringkali kita lihat kumpulan-kumpulan tertentu membuat pelbagai program yang bertujuan menyedarkan masyarakat tentang sesuatu gejala yang kurang sihat namun dalam masa yang sama, cara kerja mereka juga menggalakkan kepada berlakunya gejala berkenaan. Kakak kurang berminat untuk menghuraikan dengan contoh kerana isu ini pantas menjadi sensitif. Kakak pernah dihentam sehingga hampir demam kerana menegur satu program yang memfokuskan isu pembuangan bayi namun dalam masa yang sama melibatkan pergaulan bebas  yang teruk dan pemakaian yang tidak mengikut syariat. Untuk satu program yang baik, cara yang diketengahkan juga mestilah baik dan mengikut landasan. Ini kerana kebiasaannya, sesuatu yang tidak baik berlaku bukanlah berpunca dari niat yang tidak baik, sebaliknya kerana cara yang di ketengahkan tidak mengikut sunnah dan syariat.

4. Dua Dalam Satu
Ini bukanlah iklan syampu ye dik.. Ini adalah hakikat yang ramai di antara kita  terapkan dalam medan dakwah dan pendidikan yang kita jalankan. Di samping berdakwah, kita juga mahu berniaga. Di samping mengajar anak-anak didik di sekolah, kita juga menjual barangan direct selling kepada mereka. Kita mahu memperolehi dua perkara di dalam satu tindakan yang kita ambil. Bak kata orang putih, throw two birds with one stone .Keuntungan dunia kita mahu dan akhirat kita harap. Kakak tidak nafikan di zaman Rasulullah SAW memang ramai sahabat yang berniaga dan mereka juga meyampaikan dakwah. Namun berbalik kepada  diri kita yang serba lemah, seringkali motif perniagaan itu mendahului atau overshadow tujuan dakwah kita kerana dalam perniagaan, keuntungannya tampak jelas di  dunia. Sedangkan dakwah itu begitu sukar dilihat hasilnya. Dakwah yang paling berkesan bukanlah dengan kebijaksanaan kita atau ketinggian ilmu kita tetapi sebaliknya sejauh mana pengorbanan diri, harta dan masa kita pada jalan agama.

5. Tidak berhikmah
Perkara ini agak kurang kita sedari sebagai blogger kerana kita menulis dan kita tidak tahu siapakah yang membacanya. Namun bagi yang menjalankankan dakwah ammah dan fardiah di luar sana, aspek ini sangat penting. Berhikmah bukan sahaja mencakupi aspek tindakan yang kita ambil terhadap sesuatu, ia juga melibatkan aspek kemahiran komunikasi kita dengan orang luar. Kita kena lihat siapakah target group kita semasa kita menyampaikan. Adakah mereka kanak-kanak, remaja, orang kampung, ahli korporat atau ilmuan. Kakak pernah mendengar khutbah Aidil Fitri yang ditulis oleh golongan ilmuan, menggunakan bahasa yang begitu moden sehingga berkerut-kerut khatib hendak membaca khutbah berkenaan. Hasilnya jemaah yang rata-rata terdiri dari orang kampung sukar memahami dan hilang tumpuan. Alangkah sedihnya. Suasana Aidil Fitri yang shahdu menjadi kelakar apabila khatib yang sudah tua silap menyebut banyak perkataan. H1N1 disebut HiNi. Apalagi, kasihan khatib diketawakan. Sudah tiba masanya para pendakwah mempelajari ilmu komunikasi dan memperluaskan pengetahuan dalam pelbagai bidang agar cara penyampaian kita berkesan selain kita juga akan menjadi seorang yang lebih memahami situasi yang dihadapi oleh orang lain. Tentang topik ini kakak ada kupaskan dalam bab yang lalu iaitu Berhikmahlah Dalam Berdakwah.

6. Tegas Berprinsip
Iktibar daripada kisah para sahabat dan tabiin yang terdahulu banyak menjelaskan kepada kita tentang peri pentingnya berpegang kepada prinsip dan ini menjadi asbab kepada terbukanya pintu hati orang bukan Islam kepada agama yang suci ini. Apabila kita menghujahkan sesuatu tentang syariat, maka kitalah terdahulu mengimplimentasikannya  dalam hidup kita. Jangan pula kita menghukumkan sesuatu pada pihak lain namun apabila kaum keluarga kita melakukan perkara yang sama, kita menutup mata. Ini pasti akan menjejaskan dakwah. Kisah Saidina Ali dan baju besi miliknya yang telah dicuri oleh seorang yahudi menunjukkan kepada kita bahawa dengan berpegang kepada prinsip keadilan (iaitu dilayan dengan cara yang sama semasa perbicaraan walaupun Saidina Ali adalah seorang Khalifah) telah melembutkan hati orang yahudi berkenaan untuk memeluk agama Islam.

Apabila kita menyampaikan dakwah, kita tidak sepatutnya larut sebagaimana orang di sekeliling kita hanya kerana ingin menarik minat mereka mengikuti kita sehingga ke tahap mengabaikan prinsip agama. Kejadian pemesongan ajaran Nabi Isa a.s sehingga tertubuhnya agama Kristian Ortodok bermula dari asimilasi yang diamalkan oleh Paulus di kawasan dakwah yang disampaikannnya iaitu sekitar Babil (babilon). Sedangkan pada masa yang sama Barnaba yang juga menyampaikan ajaran Nabi Isa a.s begitu tegas dengan prisip asal ajaran sehingga sebilangan besar yang mengikut ajaran Barnaba telah memeluk agama Islam semasa era Rasulullah SAW (ini akan kakak ceritakan dalam entri akan datang, insyaAllah).

7. Kurang Beramal.
Hakikatnya begitu ramai di kalangan manusia yang begitu tinggi ilmunya. Hujah mereka begitu mantap dan disertai dengan dalil-dalil yang sahih. Ada juga di kalangan pendakwah yang mampu mengeluarkan pelbagai nas sehingga mematahkan hujjah pihak lain. Namun kejayaan sesuatu dakwah adalah bilamana ada di kalangan anak didik mereka yang berubah dan mampu beramal dengan apa yang telah mereka sampaikan. Percakapan yang ada Nur adalah bermula dari pengamalan yang istiqamah terhadap apa yang disampaikan. Tidak hairanlah apabila kita lihat ramai yang mendengar ceramah namun sedikit yang memperbaiki amalan. Ada kalanya penceramah terlalu banyak menyelitkan unsur jenaka sehingga  program ceramah dipenuhi dengan hilai ketawa. Kakak berasa aneh apabila berlakunya perkara seperti ini. Kakak terfikir, apakah sebenarnya yang diharapkan oleh penceramah ini? Memang apabila anda menyampaikan dengan santai dan humor, anda akan dipuji, diminati dan akan popular sehingga mendapat undangan yang bertalu-talu. Namun, tidak tahulah kakak tentang hasilnya, mungkin bagi orang lain ia amat baik. Bagi pihak diri ini, kakak lebih berminat mendengar ceramah yang mampu mengalirkan air mata keinsafan. walaupun aspek pengamalan belum tentu, sekurang-kurangnya air mata yang mengalir kerana Allah SWT bisa memadamkan api neraka. Ulama menyatakan bahawa  dalam berdakwah, usaha kita menyampaikan di siang hari hanyalah 10% asbab membantu kejayaan dakwah kita. 90% yang lainnya adalah doa dan air mata yang kita panjatkan kepada Allah SWT di dalam solat malam kita khas buat insan yang kita dakwahkan itu.

8. Cepat Menghukum
Hukuman yang kakak maksudkan di atas bukanlah hukuman berbentuk tindakan sebaliknya ia adalah pandangan kita tentang sesuatu perkara. Seringkali apabila sesuatu perkara buruk berlaku, kita pantas menghukum sipelakunya dengan pelbagai tuduhan. Sekiranya kita bersabar sedikit, kita mungkin dapat menyelami punca sesuatu itu di lakukan. Manusia dilahirkan di dalam latar belakang yang berbagai. Kita tidak nafikan ilmu agama sampai namun lazimnya sekiranya mereka hidup di kalangan ahli keluarga yang tidak beramal dengan agama, agak sukar untuk mereka istiqamah dengan ilmu yang mereka pelajari. Sekiranya kita ingin berdakwah kepada golongan yang jauh dari agama, kita perlu membuat persediaan yang lebih sedikit dengan mengkaji latar belakangnya. Sebaiknya kita kenal mengenal terlebih dahulu sehingga dapat mengesan punca sesuatu kemungkaran itu berlaku.Selain itu kita jangan sekali-kali memandang sipelaku kemungkaran tidak berpotensi untuk memperbaiki dirinya kerana apa yang akan berlaku di kemudian hari tidak dapat kita jangkakan. Kakak teringat cerita seorang rakan pendakwah yang terjumpa satu buku lama di dalam sebuah surau di kampungnya. Beliau kini adalah salah seorang yang begitu giat dalam dakwah, namun di dalam buku berkenaan yang telah ditulis berpuluh tahun yang lampau, namanya dicatitkan di dalam senarai 'tidak berpotensi' untuk menerima dakwah.


9. Pecah Hati
Ini adalah istilah yang begitu terkenal di kalangan satu jemaah yang giat menjalankan dakwah di negara ini. Istilah ini bermaksud tidak bersatu hati. Bersatu hati adalah satu aspek yang penting kepada kumpulan dakwah kerana ia adalah asbab turunnya rahmat dari Allah SWT. Rahmat yang turun ini adalah unsur yang sangat penting dalam menentukan  kejayaan dakwah. Bagaimanakah boleh berlakunya dakwah sekiranya ahli kumpulan dakwah ini bercakaran di antara satu sama lain. Apabila bercakaran maka malaikat akan pergi meninggalkan kumpulan ini dan siapa lagi yang akan tinggal kalau bukan syaitan laknatullah. Sesuatu yang buruk tidak dapat memperbaiki sesuatu yang lebih buruk. Pecah hati ini juga akan menyebabkan sebahagian anggota jemaah 'quyup' (bak kata orang Tasek Gelugor) terus dari medan dakwah kerana masing-masing tidak boleh lihat muka pihak yang dibencinya. Inilah punca sebenar terhalangnya aktiviti dakwah.

10. Halangan Pasangan dan Anak-anak.
Halangan pasangan bukan sahaja bermaksud halangan seperti yang kita fahami, ia juga membawa maksud tidak menyokong atau membiarkan si pendakwah membuat kerja dakwah seorang diri sedangkan pasangannya sibuk akan hal dunia. Halangan terang-terangan dari pasangan dapat kita ambil dari kisah para nabi seperti nabi Lut dan Nabi Nuh. Halangan yang besar bagi pendakwah yang seringkali terjadi kini adalah anak-anak mereka terjebak dalam kancah yang tidak bermoral. Tidak percaya? Ini sangat biasa kita dengari kini, dan inilah fitnah yang sangat besar yang bakal menghalang kerja pendakwah. Kakak mengenali seorang pendakwah yang sangat terkenal dengan ketegasannya di daerah kakak. Anaknya telah terjebak dalam kancah tidak bermoral sehingga melahirkan anak luar nikah. Si ibu tidak keluar dari rumah berbulan lamanya sehingga jemputan kenduri pun tidak dihadirinya kerana malu. Si ayah tersentap dan tidak mampu berkata apa-apa lagi buat beberapa ketika sehinggalah beliau beroleh kekuatan. Namun (arwah) yang saya kenali memang seorang yang saya begitu hormati dan kagumi kerana ketegasan dan ketinggian ilmu beliau. Perkara yang terjadi adalah semata-mata ujian dari Allah SWT kerana anak ini memang bermasalah sedari kecil dan anak-anak yang lain semuanya berjaya belaka.


11) Tertipu Dalam Amalan
Imam Ghazali Rahimahullah ada menyenaraikan beberapa contoh tertipu di dalam amalan yang dapat kakak nukilkan di sini. Terjadi di kalangan ahli tasauf yang tertipu dalam beramal bilamana mereka menyangkakan apa yang mereka cari adalah akhirat yang kekal abadi namun hakikatnya mereka mengukur dengan melihat kepada kehebatan dunia. Mengelirukan? Biar kakak jelaskan. Terdapat di kalangan ahli sufi yang begitu disiplin dalam amalan mereka pada zaman dahulu. Mereka meninggalkan kehidupan dunia yang biasa yang mengamalkan hidup yang serba zuhud. Mereka juga beramal dengan zikir-zikir yang begitu banyak dan tinggi tahapnya. Namun apa yang mereka hajatkan adalah kebolehan luar biasa seperti boleh terbang, boleh berjalan di atas air dan lain-lain  dengan menyangka bahawa inilah bukti penerimaan Allah SWT terhadap amalan mereka. Lebih hebat kebolehan luar biasa mereka, lebih hebatlah tahap amalan mereka. Sedangkan merek tidak menyangka bahawa apa yang mereka inginkan itu hanyalah keinginan yang sangat keduniaan yang boleh menghilangkan tawaduk di dalam hati mereka.
Lantas apakah kaitannya dengan kita sebagai pendidik dan pendakwah /blogger pendakwah?
Kita juga boleh tertipu dengan amalan kita apabila terselitnya keinginan dunia dalam kerja dakwah ini. contohnya mengharap ramai yang menziarah blog? Memberi komen yang memuji? Menjadi blogger terkenal? menjadi penceranah terkenal? Mengharap pujian manusia? Nauzubillahiminzalik. Inilah yang sangar sukar dan mengganggu hati kita para pendakwah. Bagi diri kakak sendiri gangguan ini sering juga hadir walaupun pada asalnya niat kakak adalah bersih dari perkara ini. Sehingga satu ketika kakak hampir sahaja membuang shoutbox dan melenyapkan komen dari entry. Namun memikirkan adik-adik dan pembaca yang mengharap dapat berkomunikasi dengan kakak, kakak tidak sampai hati. Perihal ini kita dinasihati agar memperbaharui niat kita dan sering menzikirkan istiqfar.


12. Rumahtangga Berantakan?
Dalam menjalankan kerja dakwah kita seharusnya sangat berhati-hati kerana syaitan mencari peluang dalam segala segi. Apalagi syaitan yang dihantar kepada golongan pendakwah ini pangkatnya bukanlah sekadar kopral biasa, mungkin ranking di kalangan syaitannya agak tinggi. Kenapa rumah tangga berantakan? Ini mungkin terjadi kerana pengamalan dakwah yang tidak mengikut sunnah Rasulullah SAW yang menghalalkan cara atau mengikut logik akal semata-mata. Awas!Dalam berdakwah aurat kena dijaga. Pandangan mata kena ditundukkan selalu kerana kita  manusia dan bukan mahram kita yang juga berdakwah itu adalah manusia seperti kita juga. Sekaliannya ada naluri yang sama. Jika kita sering berurusan  atas nama dakwah sekalipun, kita kena selalu betulkan niat dan jaga segala aspek yang patut dijaga. Hati adalah punca berlakunya banyak masalah. Bermula dari hati, masalah yang lebih teruk mungkin timbul. Jatuh cinta adalah gangguan hati yang utama. Tidak mendatangkan masalah besar jika cinta itu berbunga bagi yang belum berpunya, mungkin Allah SWT mahu menyatukan mereka untuk membantu kerja agama (namun kena diperbetulkan juga sebab kata ustaz, kita hanya boleh mencintai si dia jika dah ada ikatan, pertunangan adalah masa untuk kenal-mengenal) . Namun apa ceritanya jika cinta berbunga pada isteri orang, atau suami orang. Oh, sungguh sukar. Kakak memohon dijauhkan perkara ini dari terjadi kepada pendakwah. Ia adalah fitnah yang sungguh besar.

Setakat ini dapat kakak nukilkan dalam waktu yang sangat menghimpit ini. Kakak memohon maaf kerana kakak menyampaikan bukan kerana kakak baik, tetapi ini semua pernah kakak tempuhi dalam arena dakwah dan kakaklah yang terbanyak melakukan kesilapan yang tertera di atas.
Wallu'alam

3 comments:

  1. Assalamualaikum...

    Suasana telah mengkehendaki untuk kita berada dalam generasi yang umatnya berebut-rebut dan bertarung dengan begitu sengit dan kemenangan sentiasa diperolehi oleh sesiapa yang telah mempunyai kekuatan. Begitu juga suasana mengkehendaki kita supaya menghadapi kesilapan yang lampau dan menelan kepahitannya. Adalah menjadi kewajipan kita untuk memperbaiki dan membalut keretakan serta menyelamatkan diri kita dan anak-anak (generasi) kita, mengembalikan kemuliaan, keagungan, menghidupkan tamadun dan ajaran agama kita

    ReplyDelete
  2. Terima kasih Ustaz,
    Memang benar kita perlu teruskan perjuangan ini walaupun terpaksa mengharungi keperitan. Walaupun jalan untuk kemenangan sangat kabur. Jika tidak kita telah kalah sebelum berjuang. InsyaAllah saya akan teruskan juga walaupun sekadar bertatih. Mohon Allah SWT membantu.

    ReplyDelete
  3. Saye ni mangsa pendakwah yg ntah hape2... makin rosak ade la

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...