TAG META

Wednesday, November 10, 2010

Berhikmahlah Dalam Berdakwah


Salam buat sekalian pembaca, moga kalian dalam limpahan rahmat dan sakinah dari Allah SWT.

Dunia sekarang ini semakin maju dan kemajuannya adalah begitu pesat, pantas dan berterusan tanpa henti. Sesiapa yang berhenti sebentar, maka dia akan tertinggal. Sesiapa yang memilih untuk menongkah arus maka dia akan terpencil.Mengikut arus kemajuan adalah satu kemestian, satu kejayaan dan ada kalanya dianggap satu kebanggaan. Sesiapa yang terkebelakang akan di pandang aneh, pelik dan memalukan. Lantaran itu semua manusia berebut-rebut mengejar apa yang dinamakan, arus kemodenan.

Namun begitu, segelintir manusia yang mempunyai kesedaran merasakan terpanggil untuk menyampaikan peringatan. Mereka mengambil peluang dari kepesatan teknologi ini untuk menyampaikan peringatan kepada umat sejagat. Mereka menggunakan metod dakwah yang sejajar dengan zaman skrin ini iaitu menggunakan teknologi maklumat.

Hakikatnya kita boleh menggunakan apa sahaja cara selagi mana tidak bercanggah dengan ajaran Islam itu sendiri. Kita juga boleh menggunakan kreativiti untuk menyampaikan dakwah kepada umat sejagat. Selagi mana status dan tahap pemikiran kumpulan sasaran diambil kira, dakwah yang disampaikan, InsyaAllah berjaya. Namun yang terpenting adalah konsep hikmah dalam berdakwah haruslah diutamakan kerana inilah sunnah Rasulullah SAW.

Apa yang menjadi isu adalah metod yang sering diguna pakai oleh segelintir manusia dewasa kini untuk menyebarkan dakwah mereka iaitu dengan menggunakan Facebook, e-mail dan telefon bimbit. Penggunaan wadah-wadah ini bukanlah isu tetapi cara penyebarannya. Begitu ramai yang menggunakan kaedahseperti kecaman, sindiran dan paksaan dalam penyebaran tazkirah mereka. Ayat-ayat seperti :

" alangkah pelik ..anda boleh menyebarkan klip video lawak.. tetapi tidak boleh menyampaikan risalah ini??..

Atau begini:

"siapakah orang yang kedekut? Orang yang kedekut adalah mereka yang tidak berkeinginan menyampaikan risalah ini kepada orang lain".

Atau begini:

"Siapakah orang yang sibuk? Orang yang sombong adalah mereka yang tidak mempunyai masa untuk membaca risalah ini".

Inilah yang sering kita saksikan dan kita baca selama ini. Begitu mudah sipendakwah itu mahu menyampaikan dakwahnya kepada orang lain. Maka mereka yang membaca itu terasa hatinya lalu terus menyebarkan bahan berkenaan kepada rakan mereka, walaupun ada kalanya bahan berkenaan sangat diragui kesahihannya.

Adakah orang ini sedar bahawa kecaman dan tuduhan yang mereka berikan itu ada kalanya tidak betul. Sedangkan mereka telah terlebih dahulu meletakkan tuduhan...

Adakah mereka sedar bahawa menyampaikan ilmu kerana perasaan terpaksa, malu, takut bergelar sombong dan sebagainya itu akan menyebabkan individu berkenaan melakukannya 'tidak kerana Allah?'

Sedangkan mereka boleh sahaja menulis begini : " Silalah membaca dan sebarkanlah, mudah-mudahan kita peroleh manfaat darinya".

Ada kalanya isi yang disampaikan begitu bagus tetapi dihujungnya ada unsur paksaan.. maka serta-merta rasa manis itu bertukar menjadi tawar..

Tahukah mereka bahawa Rasulullah SAW menggunakan pendekatan yang begitu berhikmah dan begitu lembut kepada kaum kafir musyrikin, pendekatan hati ke hati dan ada kalanya menggunakan pendekatan ikramul muslimin seperti membantu kerja-kerja Bilal R.anhu selama beberapa hari sebelum hati Bilal R.anhu terbuka untuk memeluk Islam? Begitu banyak berlakunya keislaman para sahabat (termasuklah seorang wanita tua yahudi) adalah hasil dari pemerhatian dan pengalaman ke atas peribadi mulia yang ditunjukkan oleh Baginda Nabi. Adakah lagi tatacara yang lebih baik dari apa yang Nabi SAW tunjukkan?

Begitu sukar kerja dakwah yang dilakukan oleh baginda Nabi SAW pada zaman itu dan begitu mudahnya kita di zaman ini memaksa orang lain menerima dakwah kita...

Kita sebenarnya sangat kurang kesabaran dan hikmah dalam berdakwah.

Sahabat nyaris membunuh seorang nasrani namun memberhentikan tindakannya kerana lelaki nasrani itu meludah wajahnya.. Kenapa beliau berhenti? Kerana beliau kuatir beliau membunuh kerana marah dan bukan kerana Allah SWT. Kejadian itu menyebabkan lelaki nasrani itu memeluk agama Islam.. Begitulah sahabat menjaga keikhlasan hati mereka.

Jika teralih niat kita untuk melakukan sesuatu bukan kerana Allah, maka di akhirat kelak Allah SWT akan melepaskan kita kepada makhluk yang kerananya kita melakukan perbuatan itu. Mampukah makhluk itu memberikan kita syafaat untuk melepaskan kita dari azab Allah Azza waJalla?

Maka patutkah kita menyebarkan satu risalah kerana takut dikategorikan sombong, kedekut dan sebagainya???

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...