TAG META

Tuesday, November 16, 2010

Korban di India: Amalan Korban yang tinggi nilainya

Salam Eidul Adha buat semua pembaca,

Teringat saya pada satu kisah yang saya dengari dari seorang rakan pendakwah yang berdakwah di sekitar negara India lewat beberapa tahun yang lepas.

Ketika itu seawal 5-6 bulan sebelum Aidil Adha. Beliau telah pergi melawat salah sebuah rumah rakan pendakwah yang menetap di sana. Lelaki ini, seorang berketurunan India muslim adalah seorang yang hidupnya serba sederhana dan mempunyai beberapa orang anak. Ketika memasuki rumah berkenaan, rakan kami itu terperanjat kerana melihat beberapa ekor kambing dibawa tinggal di dalam rumah berkenaan. Rakan kami yang tinggal beberapa hari di dalam rumah itu berasa kurang senang melihat kambing itu berlarian di dalam rumah berkenaan. Beliau yang tidak biasa dengan keadaan di negara india asyik risau dengan aspek kebersihan rumah berkenaan kerana najis kambing berjatuhan di atas lantai rumah. Walaupun najis berkenaan dibuang dan basuh, keadaan berkenaan benar-benar kurang dipersetujuinya.

Pada suatu hari, beliau memberanikan diri bertanya kepada tuan rumah,

"Kenapa tuan letak kambing di dalam rumah, kenapa tidak pelihara di luar sahaja?".

Jawapan tuan rumah adalah memeranjatkan.

"Oh.. tidak boleh. Kambing ini adalah kambing korban. Kami memeliharanya di dalam rumah. Memberi makanan dan perlindungan yang cukup seperti kami memelihara anak kami sendiri".

Terpegunlah rakan kami mendengar perkataan yang keluar dari mulut tuan rumah itu lantas tidak berani bertanya lagi selepas itu.

Begitulah. Kambing-kambing itu begitu dimuliakan. Mereka makan apa-apa yang dimakan oleh anak-anak tuan rumah malah makan minum mereka seringkali disuap oleh tuan anak-anak tuan rumah. Apabila anak-anak tuan rumah ke sekolah, kambing-kambing itu menghantar hingga ke jalan raya. Semasa pulang, kambing-kambing itu menyambut anak-anak itu dengan berlari keluar apabila mereka sampai. Begitulah mereka disayangi sepertimana kaum keluarga sendiri.

Apakah natijahnya tuan-tuan?

Sehinggalah tibanya hari mereka dikorbankan. Mereka diiringi oleh anak-anak dan kaum keluarga dengan suasana yang begitu hiba. Perasaan mereka adalah seperti mengorban ahli keluarga sendiri, sebagaimana dirasakan oleh Nabi Ibrahim ketika mahu menunaikan perintah Allah untuk mengorbankan anaknya Ismail as. Kambing-kambing itu menurut sahaja tanpa melarikan diri sepertimana sering terjadi di tempat kita. Mereka bergerak bersama-sama ke tempat sembelihan dengan begitu rela. Dan anak-anak itu mengiring mereka dengan linangan air mata. Begitulah orang-orang India mendidik anak-anak mereka erti pengorbanan...

Sewajarnya, itulah perasaan sebenar yang perlu kita punyai ketika menjalankan ibadah korban...

Namun di Malaysia, dalam keadaan yang mampu dan mewah, kebiasaannya kita mencari cara yang mudah untuk membuat ibadah korban. Aspek masa adalah kekangan utama untuk kita menjalankan ibadah korban seperti di India. Kita memiliki wang, tetapi tidak memiliki masa. Wang tidak menjadi soal bagi kita. Walaupun kita mengeluarkannya untuk ibadah korban, kita kurang terkesan kerana masih memiliki simpanan. Kita hanya mengeluarkan sebahagian wang dan memberi kepada pihak lain yang akan menunaikannya bagi pihak kita. Dalam erti kata lainnya, kita mengupah orang untuk menjalankan ibadah ini bagi pihak kita. Ada kalanya kita tidak langsung mengetahui keadaan haiwan yang kita korbankan itu kerana ibadah itu dijalankan jauh di negara-negara miskin yang benar-benar memerlukan. Kesedihan dalam menjalankan ibadah korban kurang terasa...

Namun di situ ada jua kebaikannya iaitu, kita masih mengutamakan pihak yang menerima daging korban. Kita memastikan bahawa golongan yang menerima daging korban ini adalah benar-benar layak untuk menerima daging korban. Aspek ini adalah penting kerana sifat prihatin terhadap saudara Islam kita adalah satu tuntutan dalam agama.

Walau di mana kita berada, marilah kita sama-sama menjalankan ibadah korban. Sama ada di tempat sendiri atau di negara lain. Yang paling penting adalah menjalankannya mengikut kemampuan masing-masing. Sebaiknya bagi yang belum pernah menjalankan ibadah ini, lakukanlah di tempat sendiri bagi menghidupkan syiar di tempat sendiri terlebih dahulu. Namun, jika tidak mampu, boleh sahaja membayar sejumlah wang kepada pihak lain yang telah berpengalaman menjalankannya di negara-negara miskin. Korban adalah ibadah yang dituntut untuk kita menjalankannya, ia begitu penting sehingga ada ulama yang memfatwakan harus kita berhutang untuk menjalankan ibadah korban.

Sekian, selamat menjalankan ibadah korban dan selamat menyambut Aidil Adha...

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...