TAG META

Tuesday, November 30, 2010

TAZKIRAH BUAT DIRIKU


Wahai diri,

Sesungguhnya dikau punyai keazaman yang tinggi untuk meneruskan hidup sebagai insan yang kamil. Dan sesungguhnya Tuhanmu telah membuka seluas-luasnya peluang untuk dikau melakukan seberapa banyak kebajikan di dalam hidupmu. Sesungguhnya dikau punyai hati untuk menghulurkan seberapa banyak bantuan kepada manusia yang memerlukan, kepada tangan-tangan yang menadah, kepada wajah-wajah yang mengharap. Sesungguhnya wahai diri, dikau mempunyai cita-cita yang begitu luhur untuk setiap manusia yang punyai pertalian dan perkaitan denganmu apatah lagi wajah-wajah kasih yang mengelilingimu saban hari. Dikau wahai diri punyai harapan begitu tinggi bahawa masa hadapanmu begitu baik dan memihak kepada kehidupan akhiratmu.

Namun wahai diri, dikau punyai masa yang begitu suntuk, keletihan yang begitu melelahkan, ketidak cukupan wang yang sering mengusutkan fikiranmu, masalah yang tidak pernah kunjung habis, lambaian dunia yang begitu indah tetapi begitu menipu, pilihan-pilihan yang tidak selau memihak kepada hajat hatimu, harapan-harapan menggunung bahawa kehidupanmu masih panjang, angan-angan yang tidak kunjung habis,hajat-hajat pengiktirafan yang acapkali menduga ikhlas hatimu, perangkap-perangkap yang telah dikau pilih yang telah sekian lama menjerat dirimu sehinggalah dikau terpaksa menunggu di persada ini walau jiwamu berhajat memilih jalan yang lain.

Wahai hati, dikau harus menerima apa yang telah tercatit dalam taqdirmu. Dikau jua perlu memanfaatkan semua itu untuk mencapai apa-apa yang dikau hajati untuk akhiratmu. Sesungguhnya pesada yang dikau pijak ini adalah jalan yang begitu sempit mencengkam dan mengggigit , mencantas dan memintas setiap geri langkahmu. Namun hanya inilah sahaja ladang yang dikau punya sebelum rohmu dijemput kembali menghadap Dia, Robbul Jalil. Tiada lagi ladang untukmu di akhirat sana, tempat menuai apa-apa yang dikau tabur dan tanam saban hari di dunia ini.

Samada dikau punya masa untuk membajai apa yang dikau semai setiap saat dalam hidupmu, atau dikau membiarkannya tumbuh melata tidak terjaga, mengikut arah puput bayu saban waktu. Ketahulah wahai diri, itulah yang dikau akan tuai di akhirat nanti. Dikau lihatlah apakan hasilnya nanti...

Lantara itu wahai diri, setiap saat muhasabahlah, agar di hari pengadilan nanti dikau tidak akan rebah ke lembah yang meledak marah..

1 comment:

  1. Saya sangat menyukai hasil perkongsian buku yg akak baca.harap dapat kongsikan bnyk lg . Salam dari penaga,spu,penang

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...