SI KAYA YANG TERLUPA
Hegemoni
Apabila si miskin diperas peluhnya,
Demi menambah harta si kaya-raya
Segala jalan rezeki ditutup
Justeru memaksa si miskin bekerja dan bekerja
Hanya untuk si kaya-raya
Menimbunkan busut hartanya
Ketika si miskin mengeluh pada hidupnya yang sempit
Pada makannya yang tidak cukup
Pada hutang piutang yang tak terbayar
Si kaya-raya memikir ligat
Bagaimana mengekalkan status dan laba
Pada hari-hari gawat
Biarpun dengan mengutip cebisan rezeki milik si miskin
Pada jalan yang penuh dosa
Si kaya-raya terlupa
Bahawa nikmat itu dikurnia kepada sesiapa sahaja
Kecuali pada si tamak haloba
Lihat saja kudapan si kaya-raya
Hanya roti gandum penuh, tanpa palitan kaya
Dan secangkir kopi pahit, tanpa gula
Manakan bisa,
Semua itu racun yang meregut
Tubuhnya yang kian mereput
Mahligai yang bertingkat
Tak mampu dijelajahi kerana jalannya bertongkat
Tilam beralas bulu angsa berlapis herba
Tidak mampu lagi mengundang lena
Terkebil-kebil matanya
Menatap siling berhias kerawang reinessance
Yang tidak lagi memberi makna
Saban hari
Gelisah menanti terbit mentari
Sedang si miskin begitu mudah dibuai mimpi
Walau tidur beralas gumpalan kain
Berbantalkan lengan
Di atas simen yang sejuk membeku
Sikaya terlupa
Nikmat bukan pada harta yang menimbun
Yang direngkuh siang dan malam
Pada jalan yang pincang
Tapi pada mereka yang tahu bersyukur
Dan mencari sekadar yang halal
Pada jalan bersuluh taqwa.
No comments:
Post a Comment