TAG META

Friday, December 3, 2010

KISAH NABI 1 - SIAPAKAH ITU BANI ISRAEL?


(gambar menunjukkan anak-anak Bani Israel mempelajari cara-cara menggunakan senapang. Semua berkopiah kecik ye.. hmm..anak-anak muslim pakai topi???)


Salam untuk semua pembaca dan khas buat adikku Nia yang mahukan kisah nabi dan rasul di sini.

InsyaAllah kak Fatim akan catitkan di sini setakat pemahaman dari pembacaan dan pengajian yang pernah kak Fatim lalui dalam hidup kakak.

Baik, siapakah itu Israel? Yang selama ini begitu kita benci akibat kekejaman dan kedengkian yang menghuni hati mereka, terutamanya kepada 'saudaranya' yang beragama Islam. Adakah mereka orang lain atau mereka adalah 'saudara' kita. Kenapakah Rasulullah SAW menyebut dalam satu hadith bahawa mereka adalah 'saudara'? Tahukah kalian bahawa ketika isteri-isteri Rasulullah SAW mengejek Syafiyyah R. Anha dengan gelaran 'perempuan Yahudi' , Rasulullah SAW telah mengingatkan mereka bahawa Syafiyyah R. Anha adalah dari turunan ' saudara' baginda iaitu nabi Harun as. (note- Syafiyyah r anha adalah seorang wanita yahudi, anak kepada Ketua yahudi bernama Huyaii bin Akhtab dan isteri kepada seorang ketua kaum yahudi. Beliau dinikahi Rasulullah SAW selepas Kaum Yahudi kalah di dalam perang Khaibar. Beliau begitu ikhlas dan baik dan juga pandai memasak kuih dan manisan. Isteri2 rasulullah SAW sangat mencemburui beliau- Ini akan kakak ceritakan kemudian)

Israel adalah satu rumpun bangsa yang diturunkan oleh nabi-nabi terdahulu sebelum lahirnya nabi Muhammad SAW. Kesemua nabi bermulanya dari nabi Yaakob sehinggalah Nabi Isa, terkecuali nabi Ayob, Ismail dan Muhammad adalah berketurunan bani Israel. Lalu, dari manakah bermulanya Israel itu???

Bermulanya ceritanya adalah begini, Nabi Ibrahim beristerikan Siti Sarah dan kemudiannya Siti Hajar (Hajar berbangsa arab Qibti - Mesir. Merupakan hadiah dari pemerintah Mesir kepada nabi Ibrahim - kisah ini panjang, InsyaAllah akan kakak seritakan kemudian) . Dipendekkan cerita, Hajar telah melahirkan anak, bernama Ismail. Hajar dan Ismail telah ditinggalkan di satu tanah usang yang kini merupakan Makkatul Mukarramah atas perintah Allah SWT(Makkah adalah tempat peribadatan yang tertua di dunia - tempat peribadatan ini adalah selari dengan Baitul Makmur iaitu tempat peribadatan Malaikat dan penghuni langit) .

Lalu Ibrahim pulang dan tinggal bersama Siti Sarah sehinggalah sekumpulan malaikat telah dihantar untuk menghancurkan kaum Lut a.s. (note- Nabi Lut dan Nabi Ibrahim adalah pada zaman yang sama). Malaikat ini juga telah dihantar terlebih dahulu ke rumah nabi Ibrahim untuk menyampaikan berita gembira akan kelahiran nabi Ishak a.s melalui ibunya Siti Sarah. Nabi Ibrahim dan Siti Sarah sangat tua pada ketika itu dan berasa terkejut akan berita kurniaan anak itu. (Kisah ini tercatit dalam Al Quran ).

Nabi Ishak telah dilahirkan dan membesar dan diangkat menjadi seorang Rasul. Pada penghujung hayatnya, beliau telah menjadi buta. Nabi Ishak mempunyai dua orang anak lelaki iaitu Al Ash dan Yaakob a.s. Ketika Nabi Yaakob as masih kecil, beliau kurang disukai oleh ayahnya, berbanding abangnya, Al As. Namun begitu ibunya lebih menyayangi Nabi Yaakob as.

Pada satu ketika, Nabi Ishak mahu mendoakan masa depan anak-anaknya, saat yang memang telah lama dinanti oleh anak-anaknya. Isteri nabi Ishak as mengetahui akan hal tersebut. Ketika itu Al Ash pergi berburu sedangkan nabi Yaakob berada di rumah bersama ibunya. Ibunya menyuruh nabi Yaakob masuk ke bilik ayahnya. Ayahnya (nabi Ishak as) yang buta matanya itu menyangka bahawa anak kesayangannya Al As yang telah hadir di hadapannya dan memegang itu lalu mendoakannya. Baginda mendoakan agar anaknya itu dianugerahi keturunan para nabi dan mempunyai turunan yang ramai.

Tidak lama kemudian Al As pulang dan beliau pula di doakan oleh ayahnya. Beliau (yg disangkakan Yaakob as) telah didoakan agar dianugerahi kerajaan yang besar dan kejayaan pemerintahan. Namun begitu akhirnya rahsia itu telah terbocor. Al Ash telah mengetahui akan kesilapan dalam doa ayahandanya dan apa yang didoakan bukanlah sepatutnya didoakan untuknya. Dan doa turunan nabi-nabi telah diperolehi oleh nabi Yaakob as. Al ash begitu marah dan berazam mahu membunuh nabi Yaakob. Akibat dari itulah nabi Yaakob melarikan diri dari bumi tumpah darahnya. (Doa ayahandanya dimakbulkan Allah SWT, nabi Yaakub dikurniakan turunan nabi-nabi bani Israel dan Al As melahirkan turunan yang memerintah empayar Rom yang besar. Namun begitu, terdapat seorang nabi dari turunan Al Ash iaitu nabi Ayub as).

Penghijarahan ini membawa kepada penemuan Yaakob dengan 2 orang anak adik beradik iaitu Laiya dan Rahel. Yaakob sangat menyintai Rahel (si adik) namun akhirnya diarahkan untuk berkahwin dengan Laiya terlebih dahulu. Setelah beberapa lama kemudian baharulah Yaakob dibenarkan mengahwini Rahel. Ketika itu syariat membenarkan perkahwinan 2 beradik. Dari Rahel lahirlah Nabi Yusuf dan Bunyamin (Rahel telah mati selepas lahir Bunyamin. Selepas kematian itulah kasih nabi Yaakob tertumpah kepada nabi Yusuf kerana ketiadaan ibu mereka yang begitu dicintai). Dari Laiya lahirlah abang-abang yang membuang nabi Yusuf ke dalam telaga. Nabi Yusuf as dan Zulaika tidak mempunyai zuriat lelaki (atau zuriat lelaki yang hidup lama. Turunan nabi terberhenti di situ) . Keturunan nabi-nabi bani Israel adalah berasal dari turunan abang-abangnya yang nakal2 itu.

Selepas beberapa lama menghuni di perantauan, nabi Yaakob membawa seluruh kaum keluarganya (anak cucunya) yang begitu ramai pulang ke kampung asal mereka di perkampungan nabi Ishak. Perjalanan begitu sukar dan jauh. Mereka berjalan di malam hari dan berhenti berkhemah pada siang hari yang panas terik. Perjalanan ini menyebabkan suku kaum mereka memjadi begitu terkenal sebagai pejalan malam (isra') dan akhirnya di kenali sebagai Bani Israel. Mereka akhirnya tiba di perkampungan nabi Ishak dan abang Yaakob (al-ash) telah menyambut mereka dengan kegembiraan dan kasih sayang. Kebencian yang begitu lama telah hilang apabila melihat turunan adiknya yang begitu ramai.

(note: Sahabat Rasulullah SAW yang terkenal seperti Hazrat Jabir R.anhu, Hazrat Abdullah bin Salam Ra anhu adalah dari kaun Bani Israel)

Sekian, segala yang baik itu dari Allah, kekurangan dan kesilapan itu dari diri saya sendiri. Wallahu a'lam.

4 comments:

  1. Salam ukhwah,
    Mekasih atas info berguna ni...
    tapi bleh x sertakan sekali sumber cerita ni? coz saye nak compare ngan kitab yg saye amik utk madah tafsir saye dulu (kitab yg saye gune ade kat kampong, nanti sy check balik tajuk kitab saye)...

    thanks atas perkongsian ni, dan thanks sudi ziarah blog saye :)

    ReplyDelete
  2. Salam, Bahan ini adalah kumpulan dari pemahaman kakak ke atas pembacaan bahan dan kitab yang banyak sumber. Salah satu darinya adalah Qishaul Anbiya: Ibratulli ulil Albab dan cerita dari ustaz2dan ceramah .

    ReplyDelete
  3. maksudnye bani israel yg asal adalah keturunan yang baik.. adakah kaitannya dengan bani israel yg wujud skarang?

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...