TAG META

Thursday, December 30, 2010

Hujan Melagu Pilu

google image


hujan..
turun beriring kesedihan
dipuput bayu dingin 
melagu kepiluan hati

mengertilah diri..
bukan dikau seorang murabbi
duduk didikmu  mulia 
dudukmu cuma rusuk kirinya
syurgamu keredhaannya

dengan kasih dan doa
seiring izinNya
sang arjuna bisa kembali...



Wednesday, December 22, 2010

Permata di Dalam Lumpur

Salam sekalian pembaca,

Agak sukar untuk kakak nyatakan apakah tajuk yang paling sesuai untuk entri pada kali ini. Terlalu banyak yang kakak lalui dalam seminggu ini yang dapat kakak jadikan iktibar sebagai panduan dalam menjalani hidup.

'Ibratulli ulil albab' - ibrah bagi mereka yang mahu berfikir, kesalan bagi mereka yang tidak mahu berfikir. Itulah yang dapat kakak simpulkan dari perbincangan yang bakal kita lalui sebentar nanti.

Baik atau buruknya sesuatu yang berlaku tidak ditentukan oleh cantik atau teruknya perkara yang ditaqdirkan kepada kita, sebaliknya ia ditentukan oleh bagaimana kita menanggapi perkara tersebut. Kitalah yang akan menentukan samada sesuatu itu memberi implikasi baik atau buruk. Mungkin pada satu-satu masa kita ditaqdirkan menghadapi sesuatu musibah yang begitu memedihkan. Begitu teruk sehingga hampir-hampir kita jatuh kerananya. Lantas, bagaimanakah sikap kita pada ketika itu? Sedih? Sedih adalah satu kelaziman yang tidak dapat dihindarkan. Namun, berbaloikah kita jatuh rebah kerananya? atau sepatutnya kita bertafakur dan cuba sedaya upaya mencari kekuatan untuk bangun semula, mencari cahaya yang telah sirna. Menggapai dalam kesuraman dan berpaut pada mana-mana dahan ranting yang ada?. Ya, itu adalah lebih baik daripada kita terus menyesali nasib yang pada tanggapan kita tidak menyebelahi,. Bukankah begitu?

Namun apa yang mahu kakak katakan di sini adalah sesuatu yang lebih sukar kita hadapi dari ditimpa musibah. Apakah itu ? Cuba bayangkan?Apakah keadaan yang lebih sukar dari ditimpa musibah?

Ya, apa yang kakak mahu sentuh pada hari ini adalah ditaqdirkan hidup di dalam situasi yang sangat melelahkan jiwa. Yang mana tidak ada satu jalan yang lebih baik melainkan duduk menghadapinya. Apatah lagi kita tahu bahawa keadaan yang teruk ini pasti berterusan dan berulang-ulang dari masa ke masa untuk satu tempoh masa yang sangat lama. Sekiranya adik menghadapi keadaan seumpama ini, apakah yang adik akan lakukan? Di bawah ini ada beberapa cara beserta buruk dan baiknya natijah sekiranya tindakan berkenaan diambil:

1. Lari dari situasi berkenaan.
Kita boleh lari dari situasi yang terpaksa kita hadapi ini dan beralih ke tempat baru yang 'mungkin' menjanjikan kehidupan yang lebih baik. Sebenarnya, hampir kebanyakan individu yang kakak kenali di dalam hidup kakak, mengambil jalan penyelesaian begini, malah ahli keluarga kakak sendiri pun ada yang begitu suka berpindah dari satu keadaan ke satu keadaan yang lain. Namun, kakak lihat tiada satupun usaha mereka ini yang membuahkan hasil yang baik. Setiap kali mereka lari dari tempat lama yang teruk, mereka tetap menghadapi masalah yang berat di tempat yang baru.

2. Hadapi dengan keras.
Adakalanya kakak lihat orang di sekeliling kakak menghadapi sesuatu situasi yang teruk dengan cara yang lebih teruk. Ini banyak berlaku di tempat kerja. apabila mereka dimarahi oleh majikan yang garang atau rakan sekerja, mereka akan membentak, memprotes, memberi timbal balas yang serupa atau mungkin lebih teruk lagi. Dari satu segi mereka melihat bahawa inilah penyelesaian. Tanggapan mereka, orang yang memarahi kita akan tahu tahap kita dan tidak berani lagi memperlekehkan kita. "Dia ingat dia sorang yang tahu marah?" Ini adalah perkataan yang sering sangat kakak dengar di dalam pejabat. Namun ada kalanya kita tidak sedar bahawa dengan cara inilah kita menutup pintu muzakarah di dalam hidup kita. Orang akan memandang kita sebagai seorang yang tidak boleh ditegur dan sehingga selamanya kita akan berterusan di dalam keadaan demikian. Jika kita membuat silap, kita akan terus dalam kesilapan. Tiada siapa berani menyampaikan kepada kita apa yang benar. Kakak pernah mendengar cerita tentang seorang staf yang berterusan memakai T'shirt dan selipar ke pejabat tanpa rasa bersalah kerana tiada siapa yang berani menegur dirinya yang kepala angin termasuklah EO dan pengarah.

3. Berdiam diri dan menyepi.
Ini pula adalah satu serangan saikologi yang sama teruk dengan situasi kedua di atas. Anda fikir anda melakukan yang terbaik dengan membisu begitu? Tidak sama sekali kerana jika anda benar, kebenaran tidak dapat ditegakkan,. dan jika anda salah, orang akan memberi reaksi  yang sama  terhadap anda seperti kes kedua di atas.

4. Mengutuk di belakang.
Ini adalah virus yang paling 'terhormat' tetapi paling teruk akibat yang akan terjadi kemudiannya. Cara inilah yang paling terkenal dilakukan di kalangan masyarakat terutamanya di kalangan pekerja pejabat.  Kakak katakan 'terhormat' kerana ia kelihatan seperti tiada apa-apa berlaku. Namun, umpama barah, sakitnya tidak kelihatan di luar. Tetapi di dalam, ia membesar dan menunggu masa untuk pecah yang akan mengeluarkan isi yang begitu busuk meloyakan. Kenapa dik? kerana menyatakan perasaan tidak puas hati anda kepada pihak ketiga atau mendengar masalah dari satu pihak akan menimbulkan banyak kesan negatif iaitu:
               
              i) Terpengaruh.
Anda mendengar dan terpengaruh kepada pihak yang menceritakan masalahnya, kemudian merasa marah kepada pihak yang satu lagi. Namun apa yang anda dengar sebenarnya adalah pendapat satu pihak sahaja. Anda tidak mendengar versi pihak yang satu lagi.

                ii) Terdedah kepada cerita yang tidak benar. 
Kebiasaan pihak yang mencari sokongan akan menokok tambah  dan berlebih-lebihan dalam menyampaikan cerita berkenaan untuk memberatkan lagi perasaan simpati anda terhadapnya. ada kalanya dia membuka aib lama yang telah menjadi sejarah di dalam hidup lawannya itu.

                iii) Memberi impresi yang tidak baik di dalam hati anda terhadap pihak yang dituduh/ diadu. 
Anda akan merasa susah untuk bekerja dengan betul di bawah individu berkenaan (sekiranya dia seorang bos) kerana anda telah terlebih dahulu mendapat gambaran yang negatif tentang orang itu..

               iv) Asal kutukan /umpatan akhirnya menjadi fitnah
Kes ini pernah terjadi kepada seorang rakan kakak. Satu ketika dia telah melakukan sesuatu yang kurang disukai. Dalam sekejap masa, cerita tentang dirinya telah menjadi buah mulut orang ramai. Agak lama selepas itu, kakak mendengar cerita berkenaan dalam versi yang sungguh berbeza. Aneh bukan? Sedangkan kita memang mengetahui keadaan sebenar tidak begitu. Lihat bagaimana hebatnya teori 'telefon karat' yang berlaku. Asal benar kemudian menjadi fitnah. Kerana inilah kita sebagai umat Islam wajar mencontohi seruan Rasulullah SAW agar tidak 'memakan daging-daging sahabat kita sendiri'. Kalau difikirkan dengan akal yang dangkal ini memang tiada salahnya mencerita perkara yang benar-benar terjadi? Namun yakinlah bahawa  segala yang Rasulullah sampaikan itu adalah dari Allah SWT dan sesungguhnya Allah SWT maha mengetahui kelemahan makhluk ciptaanNya.

Baiklah, setelah begitu banyak 'cadangan negatif' yang kakak utarakan, segalanya tiada faedahnya jika tiada cadangan positif yang boleh kita jadikan panduan.

Apabila kita terpaksa berhadapan dengan ketidaksukaan yang datang bertubi-tubi yang melibatkan manusia, kita tidak dapat lari darinya dan mengubahnya mengikut kesukaan hati kita, apa yang perlu kita lakukan adalah mengambil tindakan-tindakan seperti di bawah:

1. Berfikir sejenak sebelum bertindak.
Kita dimarahi dengan ungkapan yang benar-benar menaikkan darah? contoh ynag pernah kakak lalui di dalam hidup kakak, seperti ini : " Fatimah, you are so bad!" atau yang  pernah kakak lalui sebelum bergelar pendidik "Lu apa punya akitek. Teruk! Tak boleh pakai.."

Apa yang kakak lakukan adalah berdiam diri, berikan senyuman dan meminta maaf. Lalu, apakah natijahnya?
                     
                       i) Orang yang memarahi kita akan turun darjah kemarahannya serta merta.
                      ii) Dia kemudiannya (dengan nada yg lembut) akan memberi alasan kenapa dia mengatakan kita teruk sebagai 'defence mechanism' kepada kenyataan dahsyat yang dikeluarkannya. Dia akan malu sendiri.
                     iii) Apabila dia pulang ke rumah, kejadian ini akan berlegar-legar dalam fikirannya dan dia akan menyesali pendekatan yang telah diambilnya.
                     iv) Dia mungkin akan mengubah caranya terhadap anda pada satu hari nanti. percayalah, kakak ada seorang ketua yang sangat tidak disukai orang bawahannnya, akan tetapi cara beliau berhadapan dengan kakak adalah sangat baik berbanding cara dia berhadapan dengan orang lain. Kakak pernah dimarahi tetapi kakak tidak pernah membalas kemarahan beliau dengan cara yang negatif.

Persoalannya, tidak adakah perasaan terkilan dengan setiap yang diperkatakannya itu ?
Jawapannya pastilah ada. Tetapi dalam situasi tertentu, kita harus rasional dan mengambil kira banyak perkara seperti :
                     i) Kita akan berhadapan dengan orang ini dalam satu tempoh masa yang sangat lama. Kerja buat kita sangat bergantung kepada 'approval' darinya. Tidak ada yang lebih penting dari mengutamakan kepentingan organisasi dari kepentingan diri sendiri.

                    ii) Kita harus tanamkan dalam diri kita bahawa tidak ada di dalam dunia ini manusia yang sempurna. Kesempurnaan adalah sifat Allah SWT. Ketidak sempurnaan manusia adalah bukti kekuasaan dan kesempurnaan Allah SWT. Kawan yang paling baik dan paling rapat dengan kita sekalipun pasti pernah atau pada suatu hari nanti akan menguris hati kita atau menyebabkan kita berkecil hati.

                   iii) Mengambil yang positif.
Cuba kita teliti dan fikirkan kembali apa yang beliau perkatakan itu, apakah benar apa yang dikatakan itu? Mungkin yang dikatakan tentang diri kita adalah benar tetapi ianya disampaikan dengan cara yang salah. Jangan lihat pada cara beliau tetapi cuba telitikan tuduhan tersebut. Jika benar, mengaku dan perbaiki adalah lebih baik daripada mencemuh caranya atau mengungkit kesilapan-kesilapan lama yang pernah beliau lakukan. Ingatlah, cermin yang terbaik adalah cermin yang dapat memacarkan reflek yang paling terang dan jelas. Orang yang terbaik untuk kita jadikan cermin diri kita adalah orang yang paling lantang memberi komen tentang diri kita.

                  iv) Lihat kebaikan dirinya. Seperti yang pernah kakak tulis dalam bab Tawaduk sebelum ini, cuba cari kebaikan dirinya walaupun kebaikannya cuma 1 berbanding keburukannya 9. Peringati diri bahawa manusia yang paling teruk adalah seorang yang langsung tidak dapat melihat satu kebaikan pun dari diri seseorang yang lain.

                  v) Anggapkan ujian ini sebagai bekalan untuk kita memperkemaskan diri apabila berhadapan dengan situasi yang lebih mencabar pada masa akan datang. Orang yang pernah melalui situasi yang teruk di dalam hidupnya akan menjadi lebih bersedia dan lebih kuat untuk mengharungi situasi yang lebih mencabar. Positifkan fikiran bahawa kemungkinan ini adalah didikan dari Allah SWT untuk kita membina jati diri dan kemungkinan pada suatu hari nanti kita pula akan berada di atas sebaris dengan pemimpin kita yang ada sekarang ini. Orang yang berjaya adalah orang yang mempunyai kebolehan untuk memaksa diri meneruskan perjuangan ketika mengharungi kepayahan kerana keadaan bekerja bukan selamanya dalam keadaan selesa. Kita juga kena sentiasa mengingati janji Allah SWT bahawa Allah SWT tidak akan memberi sesuatu ujian kepada makhluknya melainkan sesuai dengan kekuatan yang ada dalam dirinya. Hanya orang kuat yang berada di atas. Sikap yang tertanam dalam diri kita sekarang akan menentukan kedudukan kita pada satu hari nanti.

Sekiranya keadaan yang kita lalui terlampau teruk dan kita berasa buntu kerananya, bawalah terlebih dahulu permasalahan kita kepada mesyuarat. Kita boleh mesyuaratkan perihal permasalahan ini denga kaum keluarga yang terpercaya seperti pasangan atau ibu-bapa. Setelah mendapat jawapan dari mesyuarat itu, patuhilah ia. Yakinkanlah  diri kita bahawa  di dalam setiap mesyuarat ada barakahnya dan ada kejayaannya. Ini adalah kerana mesyuarat adalah sunnah Rasulullah SAW dan dalam setiap sunnah ada kejayaan. Selain itu kita juga boleh melakukan solat istigharah dan tunggulah keputusan dari Allah SWT dalam apa bentuk yang akan menggerakkan kita untuk bertindak. Ada kemungkinannya situasi yang buntu adalah kurniaan Allah SWT untuk kita beralih atau berpindah ke tempat lain yang telah ditaqdirkan AllahSWT dalam kamus hidup kita.
Sekian, Wallu'alam.

Tuesday, December 14, 2010

AKU DAN BLOG

Gambar photo diambil oleh penulis menunjukkan Sg Padang Benggali, Penaga


Celaru lubuk hatiku ini
Asbab Lubuk Ilmu Sepanjang Hayat

Dahulu sebelum wujudnya ia
Desakan kalbu meruntun jemari ini menulis
Kerana sekian lama terhentinya pena ini
Lantaran heretan dunia yang tak bisa habis
Sekian lama berhabuknya Olivetti Lettera
Menunggu ketukan tuannya yg tak kunjung tiba

Kini setelah wujudnya ia yang kunama
 Lubuk Ilmu Sepanjang Hayat
Hati sering jadi gundah
Mata pejam tiada lena

Sedang harapan yg satu
Tertunai sudah demi wujudnya ia

Namun
Harapan  seakan memakan diri
Tatkala pengharapan makhluk menghantui hati

Duhai....
Kenapa mengharap hadirnya manusia??
Bukan ini asbab wujudnya wadah ini!!!

Biar tiada yang mahu menyapa
Biar tiada yang sudi bertamu 
Hasratmu hanya satu
Tika tubuh hancur ditelan tanah
Amalanmu masih kekal hidup
Selagi tiada luput di mayapada ini
Lubuk Ilmu Sepanjang Hayat

Duhai teman blogku
Bantulah Aku..
Beritahulah aku..
Kenapa aku mesti terus menulis????

Tuesday, December 7, 2010

KISAH NABI 2 - Dapatkah Aku Tinggal Bersama-sama Rasulullah SAW di Dalam Syurga?


Salam kepada pembaca sekalian. Semoga kalian sihat dan diberkati Allah SWT.

Di kesempatan ini Kak Fatim ingin bertanya, pernahkah timbul di pemikiran anda keinginan untuk melihat wajah Rasulullah SAW? Kak Fatim pasti bahwa majoriti umat Islam di dalam dunia ini, walau bagaimana sekalipun latar belakangnya, pasti kepingin untuk melihat wajah Rasulullah SAW. Begitulah juga Kak Fatim yang lemah ini. Walaupun sering dalam kelalaian, hati ini masih tetap berharap dapat melihat Rasulullah SAW. Malah bukan itu sahaja, Kakak juga berharap dapat beroleh syafaat Rasulullah SAW di padang mahsyar dan dapat tinggal bersama-sama Baginda di dalam syurga. Terkadang rasa malu di dalam hati apabila memikirkan tentang keinginan dan hajat yang begitu tinggi, tidak sepadan dengan usaha yang begitu sedikit.


Pembaca yang kakak hormati, tanda cinta kita terhadap Rasulullah SAW adalah keinginan kita untuk tinggal bersama Rasulullah SAW di dalam syurga. Di dalam dunia ini, tidak semua perkara yang kita hajati ditaqdirkan untuk kita. Apabila kita terlalu berhajat terhadap sesuatu namun tidak mampu memperolehinya, kita pasti berharap dan berdoa untuk memperolehinya di dalam syurga. Namun hakikatnya, tiada satu kenikmatan yang dapat menandingi kenikmatan melihat wajah Allah SWT dan tinggal bersama-sama dengan Kekasih Allah SWT di dalam syurga. Siapa lagi kekasih Allah SWT kalau bukan junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW.

Namun begitu, keinginan yang satu ini begitu tinggi nilainya. Apatah lagi kita sedia maklum bahawa barang yang begitu berharga, bukanlah mudah untuk meperolehinya. Justeru, wajarkah kita meninggalkan sebutir berlian yang diberi secara percuma kepada sesiapa sahaja yang yang menghajatkannya hanya kerana jalan untuk mendapatkannya dipenuhi ranjau dan duri? Sudah pasti jawapannya tidak. Untuk itu wajarlah kita mengambil peduli akan kaedah-kaedah yang dapat kita praktikkan sebagai usaha kita untuk bersama-sama Rasulullah SAW di dalam syurga.

Sesungguhnya apa yang kita tanam di bumi ini akan kita tuai di akhirat nanti. Jika kita benar-benar ingin bersama Rasulullah SAW di syurga maka kita seharusnya membuat persediaan awal yang cukup lengkap sebagai prasyarat untuk kita terpilih menjadi penghuni syurga. Hakikat yang harus kita terima adalah, kita hanya dapat bersama-sama Rasulullah SAW di syurga dengan keizinan daripada Allah SWT semata-mata. Ini adalah jelas melalui satu kisah yang kakak baca di dalam sebuah kitab fadhilat Amal karya Maulana Zakariya Al Kandahlawi :

Pada suatu ketika, seorang sahabat telah membantu memberi khidmat kepada Rasulullah SAW dalam menyelesaikan kerja-kerja harian seperti menyediakan air dan sebagainya. Rasulullah SAW sangat gembira dan berpuas hati dengan khidmat yang diberikan oleh sahabat itu lalu menawarkan kepada beliau untuk memohon apa-apa sahaja yang beliau mahukan dari Baginda SAW.

Lelaki itu menjawab - 'Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya aku ingin tinggal bersamamu di dalam syurga.

Rasulullah SAW diam dan kemudiannya bersabda :

' Jika itu yang dikau hajatkan, maka bantulah aku dengan memperbanyakkan sujud ' .

Begitulah kecintaan sahabat sehingga beliau tidak mahu apa-apa selain bersama Rasululllah SAW. Namun, tiada satu jaminan yang dapat Rasulullah SAW berikan melainkan dengan memenuhi prasyarat yang telah Allah SWT tetapkan. Semuanya melaui izin dari Allah SWT.

Soalnya, apakah prasyarat-prasyarat yang perlu kita amalkan untuk bersama-sama dengan Rasulullah SAW? Cukupkah sekadar menyebut di bibir menyatakan 'Aku cinta Rasulullah SAW', membuat sajak-sajak berunsur kecintaan kepada Rasulullah SAW, membuat perarakan dengan merentang sepanduk yang tertulis ayat-ayat menunjukkan kecintaan terhadap Rasulullah SAW, atau bagaimanakah caranya yang terbaik untuk kita menterjemahkan kecintaan itu?

Prasyarat untuk bersama Rasulullah SAW dapat kita fahami melalui hadith Nabi SAW yang bermaksud:

'Barang siapa yang beramal dengan sunnahku maka ia menyintaiku. Barang siapa menyintaiku maka dia dapat bersama-samaku di dalam syurga'.
Bukti kecintaan kita kepada Rasulullah SAW dapat diterjemahkan melaui perkaitan rapat diantara diri kita dengan sunnah Rasulullah SAW di dalam kehidupan kita sehari-hari. Penterjemahan ini bukan sekadar perbincangan dan penyebaran ilmu berkaitan sunnah Rasulullah SAW tetapi aspek pengamalan di dalam kehidupan kita sehari-hari. Selain itu keyakinan bahawa hanya cara hidup Rasulullah SAW sahaja yang membawa kejayaan dan tiada satu cara hidup yang dapat menandingi cara nabi adalah aspek yang paling penting perlu dimiliki terlebih dahulu oleh setiap individu yang mahu beramal dengan sunnah RAsulullah SAW. Tanpa keyakinan yang kental ini, pengamalan akan menjadi 'hangat-hangat tahi ayam'. Sahabat Rasulullah SAW jarang bertanyakan alasan /rasional Rasulullah SAW beramal dengan sesuatu tertib. Mereka mencontohi Rasulullah SAW secara semberono, malahan sahabat nabi yang tersohor, Abdullah Ibnu Umar Ranhu pernah menaiki unta dan berpusing pusing di satu kawasan sehingga menimbulkan kehairanan kepada sahabat yang lain. Apabila ditanya kenapa beliau berbuat demikian, beliau menjawab bahawa beliau pernah melihat nabi berpusing menaiki untanya beberapa pusingan dan akhirnya berhenti di situ. Keyakinan bahawa sunnah membawa kejayaan telah memadamkan keinginan mereka untuk mengetahui rasional tentang sesuatu adab dan tertib yang Rasulullah SAW lakukan. Berbeza dengan kita di zaman ini yang acap kali mencari sebab musabab dan kebaikan dalam satu sunnah sehinggalah ke peringkat kajian saintifiknya sekali. Maka bagaimanakan tahap keyakinan dan iman kita? Apakah kita mahu menjadi seperti sahabat yang terkenal dengan sifat 'samigna wa atogna' atau mengkaji sehingga kita mendapat alasan yang kukuh baharu kita mahu beramal?


Seperkara lagi, apakah mudah untuk beramal dengan sunnah Rasulullah SAW?

Kak Fatim yakin bahawa setiap dari kita pernah mendengar akan hadith ini:

Daripada Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: "Akan datang kepada umatku suatu zaman di mana orang yang berpegang kepada agamanya laksana mengenggam bara api".
Hadith ini cukup untuk menjelaskan kepada kita betapa sukarnya beramal dengan sunnah Rasulullah SAW pada zaman fahsya dan mungkar ini. Sesiapa yang beramal dengan sunnah, beliau akan dilihat pelik dan asing. Beliau kelihatan berbeza dan ada kalanya dituduh sesat , taksub atau sekurang-kurangnya ketinggalan zaman. Tidak keterlaluan jika kakak katakan di sini bahawa orang Islam kini mahu mengamalkan agama tetapi mengikut cara mereka sendiri. Cara-cara ini adalah mengikut apa yang disukai oleh nafsu mereka semata-mata dan bukan yang ditunjukkan oleh baginda Nabi SAW. Mereka mahu menyimpan janggut tetapi ala goatie, dengan sedikit janggut dan misai, kononnya lebih kemas dan kacak, bersikat rambut ke belakang, menganggap dakwah dari individu kepada individu yang lain seperti mengajak kembali ke masjid tidak lagi relevan kerana mengganggu seseorang individu , menjadi imam solat kepada isteri dan anak di rumah kononnya tanggungjawab sebagai ketua keluarga, perkahwinan di pihak perempuan disambut meriah berbanding di pihak lelaki, mahar yang tinggi menunjukkan lebih berharga seorang pengantin sehingga tahap kelulusan pengantin di ambil kira. Sekiranya mereka mengetahui bahawa menyimpan janggut dan mencukur misai adalah sunnah, menyikat rambut dengan membelah di tengah dan menyisir ke tepi adalah sunnah (menyikat rambut ke belakang adalah cara ahli kitab di zaman Rasulullah SAW), menjalankan dakwah dari satu individu kepada individu yang lain adalah sunnah, solat diawal-awal waktu di tempat azan di aungkan (bagi lelaki ) adalah sunnah, kenduri di pihak pengantin lelaki sahaja adalah sunnah, mahar yang rendah adalah sunnah. Namun berapa ramai yang sanggup mengerjakan adab-adab sunnah begini di saat orang ramai langsung/hampir tidak ambil peduli perihal sunnah ini. Melainkan yang menjalankannya akan di pandang aneh dan dianggap melanggar budaya dan adat resam.

Bagi setiap perjuangan pastilah ada ujian yang mendatang. Begitulah juga dengan orang yang mengakui bahawa dia menyintai Rasulullah SAW.

Ya, sesiapa yang mengakui bahawa dia menyintai Rasulullah SAW dan bermujahadah dalam mengamalkan cara hidup baginda, maka dia pasti akan diuji. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud:

“Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: ”Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi?. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta”. (Surah Al-Ankabut ayat 2-3)"
Seorang sahabat RAsulullah SAW pernah menyatakan perasaan cintanya kepada Baginda SAW:

"Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku menyintaimu"

Rasulullah SAW bersabda:

"Fikrkanlah kembali kata-katamu itu"

Lelaki itu mengulangi kata-katanya lagi dan Rasulullah SAW mengulangi perkataan yang sama.

"Fikrkanlah kembali kata-katamu itu"

Lelaki itu mengulangi lagi kenyataan yang sama sehinggalah akhirnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Barang siapa yang menyintaiku, sesungguhnya kemiskinan akan mengejarnya seumpama air menuruni lembah".
Ya, mana mungkin kita dapat mengaut kedua-dua, dunia dan akhirat secara sekaligus kerana keinginan kita yang kuat terhadap dunia akan menghilangkan fikir risau kita tentang akhirat yang kekal abadi. Kecuali bagi insan-insan terpilih yang memang ditaqdirkan untuk menjadi kaya raya dan dapat menjaga akhiratnya pada masa yang sama, kebanyakan manusia biasa yang lain hanya mampu menegakkan salah satu daripadanya. Terlalu sukar kerana keinginan dunia memerlukan pengorbanan masa, begitu juga keinginan akhirat. Rezeki dunia adalah sesuatu yang telah Allah SWT tulis dalam taqdir hidup kita, ia telah termaktub. Sebanyak mana kita kejar, hanya yang tertulis akan kita perolehi. Tetapi rezeki akhirat adalah sesuatu yang perlu kita usahakan. Jika kita tidak ditaqdirkan memperolehi dunia di dalam hidup kita, kita tetap memerlukan akhirat kerana tempat menghuni yang lebih kekal adalah di sana. Oleh itu tidak perlulah kita bersedih jika kita ditaqdirkan susah dan miskin.

Bagi diri kita sekalian yang belum diuji malah sering takut untuk menghadapi ujian lantas meringan-ringankan pengamalan sunnah dengan meletak pelbagai alasan seperti larangan mengamalkan mana-mana sunnah atas sebab bekerja, pandangan masyarakat, adat resam dan lain-lain alasan yang begitu banyak, inilah titik tolak akan akan membezakan tahap kecintaan kita kepada baginda Rasulullah SAW yang telah sekian lama terjadi tanpa kita sedari. Kita sebenarnya telah kerugian waktu yang sangat berharga dalam mengerjakan sunnah Baginda SAW. Sebaiknya kita koreksi diri kita sebelum bernoktahnya masa yang diperuntukkan kepada kita di dunia ini.

Friday, December 3, 2010

KISAH NABI 1 - SIAPAKAH ITU BANI ISRAEL?


(gambar menunjukkan anak-anak Bani Israel mempelajari cara-cara menggunakan senapang. Semua berkopiah kecik ye.. hmm..anak-anak muslim pakai topi???)


Salam untuk semua pembaca dan khas buat adikku Nia yang mahukan kisah nabi dan rasul di sini.

InsyaAllah kak Fatim akan catitkan di sini setakat pemahaman dari pembacaan dan pengajian yang pernah kak Fatim lalui dalam hidup kakak.

Baik, siapakah itu Israel? Yang selama ini begitu kita benci akibat kekejaman dan kedengkian yang menghuni hati mereka, terutamanya kepada 'saudaranya' yang beragama Islam. Adakah mereka orang lain atau mereka adalah 'saudara' kita. Kenapakah Rasulullah SAW menyebut dalam satu hadith bahawa mereka adalah 'saudara'? Tahukah kalian bahawa ketika isteri-isteri Rasulullah SAW mengejek Syafiyyah R. Anha dengan gelaran 'perempuan Yahudi' , Rasulullah SAW telah mengingatkan mereka bahawa Syafiyyah R. Anha adalah dari turunan ' saudara' baginda iaitu nabi Harun as. (note- Syafiyyah r anha adalah seorang wanita yahudi, anak kepada Ketua yahudi bernama Huyaii bin Akhtab dan isteri kepada seorang ketua kaum yahudi. Beliau dinikahi Rasulullah SAW selepas Kaum Yahudi kalah di dalam perang Khaibar. Beliau begitu ikhlas dan baik dan juga pandai memasak kuih dan manisan. Isteri2 rasulullah SAW sangat mencemburui beliau- Ini akan kakak ceritakan kemudian)

Israel adalah satu rumpun bangsa yang diturunkan oleh nabi-nabi terdahulu sebelum lahirnya nabi Muhammad SAW. Kesemua nabi bermulanya dari nabi Yaakob sehinggalah Nabi Isa, terkecuali nabi Ayob, Ismail dan Muhammad adalah berketurunan bani Israel. Lalu, dari manakah bermulanya Israel itu???

Bermulanya ceritanya adalah begini, Nabi Ibrahim beristerikan Siti Sarah dan kemudiannya Siti Hajar (Hajar berbangsa arab Qibti - Mesir. Merupakan hadiah dari pemerintah Mesir kepada nabi Ibrahim - kisah ini panjang, InsyaAllah akan kakak seritakan kemudian) . Dipendekkan cerita, Hajar telah melahirkan anak, bernama Ismail. Hajar dan Ismail telah ditinggalkan di satu tanah usang yang kini merupakan Makkatul Mukarramah atas perintah Allah SWT(Makkah adalah tempat peribadatan yang tertua di dunia - tempat peribadatan ini adalah selari dengan Baitul Makmur iaitu tempat peribadatan Malaikat dan penghuni langit) .

Lalu Ibrahim pulang dan tinggal bersama Siti Sarah sehinggalah sekumpulan malaikat telah dihantar untuk menghancurkan kaum Lut a.s. (note- Nabi Lut dan Nabi Ibrahim adalah pada zaman yang sama). Malaikat ini juga telah dihantar terlebih dahulu ke rumah nabi Ibrahim untuk menyampaikan berita gembira akan kelahiran nabi Ishak a.s melalui ibunya Siti Sarah. Nabi Ibrahim dan Siti Sarah sangat tua pada ketika itu dan berasa terkejut akan berita kurniaan anak itu. (Kisah ini tercatit dalam Al Quran ).

Nabi Ishak telah dilahirkan dan membesar dan diangkat menjadi seorang Rasul. Pada penghujung hayatnya, beliau telah menjadi buta. Nabi Ishak mempunyai dua orang anak lelaki iaitu Al Ash dan Yaakob a.s. Ketika Nabi Yaakob as masih kecil, beliau kurang disukai oleh ayahnya, berbanding abangnya, Al As. Namun begitu ibunya lebih menyayangi Nabi Yaakob as.

Pada satu ketika, Nabi Ishak mahu mendoakan masa depan anak-anaknya, saat yang memang telah lama dinanti oleh anak-anaknya. Isteri nabi Ishak as mengetahui akan hal tersebut. Ketika itu Al Ash pergi berburu sedangkan nabi Yaakob berada di rumah bersama ibunya. Ibunya menyuruh nabi Yaakob masuk ke bilik ayahnya. Ayahnya (nabi Ishak as) yang buta matanya itu menyangka bahawa anak kesayangannya Al As yang telah hadir di hadapannya dan memegang itu lalu mendoakannya. Baginda mendoakan agar anaknya itu dianugerahi keturunan para nabi dan mempunyai turunan yang ramai.

Tidak lama kemudian Al As pulang dan beliau pula di doakan oleh ayahnya. Beliau (yg disangkakan Yaakob as) telah didoakan agar dianugerahi kerajaan yang besar dan kejayaan pemerintahan. Namun begitu akhirnya rahsia itu telah terbocor. Al Ash telah mengetahui akan kesilapan dalam doa ayahandanya dan apa yang didoakan bukanlah sepatutnya didoakan untuknya. Dan doa turunan nabi-nabi telah diperolehi oleh nabi Yaakob as. Al ash begitu marah dan berazam mahu membunuh nabi Yaakob. Akibat dari itulah nabi Yaakob melarikan diri dari bumi tumpah darahnya. (Doa ayahandanya dimakbulkan Allah SWT, nabi Yaakub dikurniakan turunan nabi-nabi bani Israel dan Al As melahirkan turunan yang memerintah empayar Rom yang besar. Namun begitu, terdapat seorang nabi dari turunan Al Ash iaitu nabi Ayub as).

Penghijarahan ini membawa kepada penemuan Yaakob dengan 2 orang anak adik beradik iaitu Laiya dan Rahel. Yaakob sangat menyintai Rahel (si adik) namun akhirnya diarahkan untuk berkahwin dengan Laiya terlebih dahulu. Setelah beberapa lama kemudian baharulah Yaakob dibenarkan mengahwini Rahel. Ketika itu syariat membenarkan perkahwinan 2 beradik. Dari Rahel lahirlah Nabi Yusuf dan Bunyamin (Rahel telah mati selepas lahir Bunyamin. Selepas kematian itulah kasih nabi Yaakob tertumpah kepada nabi Yusuf kerana ketiadaan ibu mereka yang begitu dicintai). Dari Laiya lahirlah abang-abang yang membuang nabi Yusuf ke dalam telaga. Nabi Yusuf as dan Zulaika tidak mempunyai zuriat lelaki (atau zuriat lelaki yang hidup lama. Turunan nabi terberhenti di situ) . Keturunan nabi-nabi bani Israel adalah berasal dari turunan abang-abangnya yang nakal2 itu.

Selepas beberapa lama menghuni di perantauan, nabi Yaakob membawa seluruh kaum keluarganya (anak cucunya) yang begitu ramai pulang ke kampung asal mereka di perkampungan nabi Ishak. Perjalanan begitu sukar dan jauh. Mereka berjalan di malam hari dan berhenti berkhemah pada siang hari yang panas terik. Perjalanan ini menyebabkan suku kaum mereka memjadi begitu terkenal sebagai pejalan malam (isra') dan akhirnya di kenali sebagai Bani Israel. Mereka akhirnya tiba di perkampungan nabi Ishak dan abang Yaakob (al-ash) telah menyambut mereka dengan kegembiraan dan kasih sayang. Kebencian yang begitu lama telah hilang apabila melihat turunan adiknya yang begitu ramai.

(note: Sahabat Rasulullah SAW yang terkenal seperti Hazrat Jabir R.anhu, Hazrat Abdullah bin Salam Ra anhu adalah dari kaun Bani Israel)

Sekian, segala yang baik itu dari Allah, kekurangan dan kesilapan itu dari diri saya sendiri. Wallahu a'lam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...