Agak sukar untuk kakak nyatakan apakah tajuk yang paling sesuai untuk entri pada kali ini. Terlalu banyak yang kakak lalui dalam seminggu ini yang dapat kakak jadikan iktibar sebagai panduan dalam menjalani hidup.
'Ibratulli ulil albab' - ibrah bagi mereka yang mahu berfikir, kesalan bagi mereka yang tidak mahu berfikir. Itulah yang dapat kakak simpulkan dari perbincangan yang bakal kita lalui sebentar nanti.
Baik atau buruknya sesuatu yang berlaku tidak ditentukan oleh cantik atau teruknya perkara yang ditaqdirkan kepada kita, sebaliknya ia ditentukan oleh bagaimana kita menanggapi perkara tersebut. Kitalah yang akan menentukan samada sesuatu itu memberi implikasi baik atau buruk. Mungkin pada satu-satu masa kita ditaqdirkan menghadapi sesuatu musibah yang begitu memedihkan. Begitu teruk sehingga hampir-hampir kita jatuh kerananya. Lantas, bagaimanakah sikap kita pada ketika itu? Sedih? Sedih adalah satu kelaziman yang tidak dapat dihindarkan. Namun, berbaloikah kita jatuh rebah kerananya? atau sepatutnya kita bertafakur dan cuba sedaya upaya mencari kekuatan untuk bangun semula, mencari cahaya yang telah sirna. Menggapai dalam kesuraman dan berpaut pada mana-mana dahan ranting yang ada?. Ya, itu adalah lebih baik daripada kita terus menyesali nasib yang pada tanggapan kita tidak menyebelahi,. Bukankah begitu?
Namun apa yang mahu kakak katakan di sini adalah sesuatu yang lebih sukar kita hadapi dari ditimpa musibah. Apakah itu ? Cuba bayangkan?Apakah keadaan yang lebih sukar dari ditimpa musibah?
Ya, apa yang kakak mahu sentuh pada hari ini adalah ditaqdirkan hidup di dalam situasi yang sangat melelahkan jiwa. Yang mana tidak ada satu jalan yang lebih baik melainkan duduk menghadapinya. Apatah lagi kita tahu bahawa keadaan yang teruk ini pasti berterusan dan berulang-ulang dari masa ke masa untuk satu tempoh masa yang sangat lama. Sekiranya adik menghadapi keadaan seumpama ini, apakah yang adik akan lakukan? Di bawah ini ada beberapa cara beserta buruk dan baiknya natijah sekiranya tindakan berkenaan diambil:
1. Lari dari situasi berkenaan.
Kita boleh lari dari situasi yang terpaksa kita hadapi ini dan beralih ke tempat baru yang 'mungkin' menjanjikan kehidupan yang lebih baik. Sebenarnya, hampir kebanyakan individu yang kakak kenali di dalam hidup kakak, mengambil jalan penyelesaian begini, malah ahli keluarga kakak sendiri pun ada yang begitu suka berpindah dari satu keadaan ke satu keadaan yang lain. Namun, kakak lihat tiada satupun usaha mereka ini yang membuahkan hasil yang baik. Setiap kali mereka lari dari tempat lama yang teruk, mereka tetap menghadapi masalah yang berat di tempat yang baru.
2. Hadapi dengan keras.
Adakalanya kakak lihat orang di sekeliling kakak menghadapi sesuatu situasi yang teruk dengan cara yang lebih teruk. Ini banyak berlaku di tempat kerja. apabila mereka dimarahi oleh majikan yang garang atau rakan sekerja, mereka akan membentak, memprotes, memberi timbal balas yang serupa atau mungkin lebih teruk lagi. Dari satu segi mereka melihat bahawa inilah penyelesaian. Tanggapan mereka, orang yang memarahi kita akan tahu tahap kita dan tidak berani lagi memperlekehkan kita. "Dia ingat dia sorang yang tahu marah?" Ini adalah perkataan yang sering sangat kakak dengar di dalam pejabat. Namun ada kalanya kita tidak sedar bahawa dengan cara inilah kita menutup pintu muzakarah di dalam hidup kita. Orang akan memandang kita sebagai seorang yang tidak boleh ditegur dan sehingga selamanya kita akan berterusan di dalam keadaan demikian. Jika kita membuat silap, kita akan terus dalam kesilapan. Tiada siapa berani menyampaikan kepada kita apa yang benar. Kakak pernah mendengar cerita tentang seorang staf yang berterusan memakai T'shirt dan selipar ke pejabat tanpa rasa bersalah kerana tiada siapa yang berani menegur dirinya yang kepala angin termasuklah EO dan pengarah.
3. Berdiam diri dan menyepi.
Ini pula adalah satu serangan saikologi yang sama teruk dengan situasi kedua di atas. Anda fikir anda melakukan yang terbaik dengan membisu begitu? Tidak sama sekali kerana jika anda benar, kebenaran tidak dapat ditegakkan,. dan jika anda salah, orang akan memberi reaksi yang sama terhadap anda seperti kes kedua di atas.
4. Mengutuk di belakang.
Ini adalah virus yang paling 'terhormat' tetapi paling teruk akibat yang akan terjadi kemudiannya. Cara inilah yang paling terkenal dilakukan di kalangan masyarakat terutamanya di kalangan pekerja pejabat. Kakak katakan 'terhormat' kerana ia kelihatan seperti tiada apa-apa berlaku. Namun, umpama barah, sakitnya tidak kelihatan di luar. Tetapi di dalam, ia membesar dan menunggu masa untuk pecah yang akan mengeluarkan isi yang begitu busuk meloyakan. Kenapa dik? kerana menyatakan perasaan tidak puas hati anda kepada pihak ketiga atau mendengar masalah dari satu pihak akan menimbulkan banyak kesan negatif iaitu:
i) Terpengaruh.
Anda mendengar dan terpengaruh kepada pihak yang menceritakan masalahnya, kemudian merasa marah kepada pihak yang satu lagi. Namun apa yang anda dengar sebenarnya adalah pendapat satu pihak sahaja. Anda tidak mendengar versi pihak yang satu lagi.
ii) Terdedah kepada cerita yang tidak benar.
Kebiasaan pihak yang mencari sokongan akan menokok tambah dan berlebih-lebihan dalam menyampaikan cerita berkenaan untuk memberatkan lagi perasaan simpati anda terhadapnya. ada kalanya dia membuka aib lama yang telah menjadi sejarah di dalam hidup lawannya itu.
iii) Memberi impresi yang tidak baik di dalam hati anda terhadap pihak yang dituduh/ diadu.
Anda akan merasa susah untuk bekerja dengan betul di bawah individu berkenaan (sekiranya dia seorang bos) kerana anda telah terlebih dahulu mendapat gambaran yang negatif tentang orang itu..
iv) Asal kutukan /umpatan akhirnya menjadi fitnah
Kes ini pernah terjadi kepada seorang rakan kakak. Satu ketika dia telah melakukan sesuatu yang kurang disukai. Dalam sekejap masa, cerita tentang dirinya telah menjadi buah mulut orang ramai. Agak lama selepas itu, kakak mendengar cerita berkenaan dalam versi yang sungguh berbeza. Aneh bukan? Sedangkan kita memang mengetahui keadaan sebenar tidak begitu. Lihat bagaimana hebatnya teori 'telefon karat' yang berlaku. Asal benar kemudian menjadi fitnah. Kerana inilah kita sebagai umat Islam wajar mencontohi seruan Rasulullah SAW agar tidak 'memakan daging-daging sahabat kita sendiri'. Kalau difikirkan dengan akal yang dangkal ini memang tiada salahnya mencerita perkara yang benar-benar terjadi? Namun yakinlah bahawa segala yang Rasulullah sampaikan itu adalah dari Allah SWT dan sesungguhnya Allah SWT maha mengetahui kelemahan makhluk ciptaanNya.
Baiklah, setelah begitu banyak 'cadangan negatif' yang kakak utarakan, segalanya tiada faedahnya jika tiada cadangan positif yang boleh kita jadikan panduan.
Apabila kita terpaksa berhadapan dengan ketidaksukaan yang datang bertubi-tubi yang melibatkan manusia, kita tidak dapat lari darinya dan mengubahnya mengikut kesukaan hati kita, apa yang perlu kita lakukan adalah mengambil tindakan-tindakan seperti di bawah:
1. Berfikir sejenak sebelum bertindak.
Kita dimarahi dengan ungkapan yang benar-benar menaikkan darah? contoh ynag pernah kakak lalui di dalam hidup kakak, seperti ini : " Fatimah, you are so bad!" atau yang pernah kakak lalui sebelum bergelar pendidik "Lu apa punya akitek. Teruk! Tak boleh pakai.."
Apa yang kakak lakukan adalah berdiam diri, berikan senyuman dan meminta maaf. Lalu, apakah natijahnya?
i) Orang yang memarahi kita akan turun darjah kemarahannya serta merta.
ii) Dia kemudiannya (dengan nada yg lembut) akan memberi alasan kenapa dia mengatakan kita teruk sebagai 'defence mechanism' kepada kenyataan dahsyat yang dikeluarkannya. Dia akan malu sendiri.
iii) Apabila dia pulang ke rumah, kejadian ini akan berlegar-legar dalam fikirannya dan dia akan menyesali pendekatan yang telah diambilnya.
iv) Dia mungkin akan mengubah caranya terhadap anda pada satu hari nanti. percayalah, kakak ada seorang ketua yang sangat tidak disukai orang bawahannnya, akan tetapi cara beliau berhadapan dengan kakak adalah sangat baik berbanding cara dia berhadapan dengan orang lain. Kakak pernah dimarahi tetapi kakak tidak pernah membalas kemarahan beliau dengan cara yang negatif.
Persoalannya, tidak adakah perasaan terkilan dengan setiap yang diperkatakannya itu ?
Jawapannya pastilah ada. Tetapi dalam situasi tertentu, kita harus rasional dan mengambil kira banyak perkara seperti :
i) Kita akan berhadapan dengan orang ini dalam satu tempoh masa yang sangat lama. Kerja buat kita sangat bergantung kepada 'approval' darinya. Tidak ada yang lebih penting dari mengutamakan kepentingan organisasi dari kepentingan diri sendiri.
ii) Kita harus tanamkan dalam diri kita bahawa tidak ada di dalam dunia ini manusia yang sempurna. Kesempurnaan adalah sifat Allah SWT. Ketidak sempurnaan manusia adalah bukti kekuasaan dan kesempurnaan Allah SWT. Kawan yang paling baik dan paling rapat dengan kita sekalipun pasti pernah atau pada suatu hari nanti akan menguris hati kita atau menyebabkan kita berkecil hati.
iii) Mengambil yang positif.
Cuba kita teliti dan fikirkan kembali apa yang beliau perkatakan itu, apakah benar apa yang dikatakan itu? Mungkin yang dikatakan tentang diri kita adalah benar tetapi ianya disampaikan dengan cara yang salah. Jangan lihat pada cara beliau tetapi cuba telitikan tuduhan tersebut. Jika benar, mengaku dan perbaiki adalah lebih baik daripada mencemuh caranya atau mengungkit kesilapan-kesilapan lama yang pernah beliau lakukan. Ingatlah, cermin yang terbaik adalah cermin yang dapat memacarkan reflek yang paling terang dan jelas. Orang yang terbaik untuk kita jadikan cermin diri kita adalah orang yang paling lantang memberi komen tentang diri kita.
iv) Lihat kebaikan dirinya. Seperti yang pernah kakak tulis dalam bab Tawaduk sebelum ini, cuba cari kebaikan dirinya walaupun kebaikannya cuma 1 berbanding keburukannya 9. Peringati diri bahawa manusia yang paling teruk adalah seorang yang langsung tidak dapat melihat satu kebaikan pun dari diri seseorang yang lain.
v) Anggapkan ujian ini sebagai bekalan untuk kita memperkemaskan diri apabila berhadapan dengan situasi yang lebih mencabar pada masa akan datang. Orang yang pernah melalui situasi yang teruk di dalam hidupnya akan menjadi lebih bersedia dan lebih kuat untuk mengharungi situasi yang lebih mencabar. Positifkan fikiran bahawa kemungkinan ini adalah didikan dari Allah SWT untuk kita membina jati diri dan kemungkinan pada suatu hari nanti kita pula akan berada di atas sebaris dengan pemimpin kita yang ada sekarang ini. Orang yang berjaya adalah orang yang mempunyai kebolehan untuk memaksa diri meneruskan perjuangan ketika mengharungi kepayahan kerana keadaan bekerja bukan selamanya dalam keadaan selesa. Kita juga kena sentiasa mengingati janji Allah SWT bahawa Allah SWT tidak akan memberi sesuatu ujian kepada makhluknya melainkan sesuai dengan kekuatan yang ada dalam dirinya. Hanya orang kuat yang berada di atas. Sikap yang tertanam dalam diri kita sekarang akan menentukan kedudukan kita pada satu hari nanti.
Sekiranya keadaan yang kita lalui terlampau teruk dan kita berasa buntu kerananya, bawalah terlebih dahulu permasalahan kita kepada mesyuarat. Kita boleh mesyuaratkan perihal permasalahan ini denga kaum keluarga yang terpercaya seperti pasangan atau ibu-bapa. Setelah mendapat jawapan dari mesyuarat itu, patuhilah ia. Yakinkanlah diri kita bahawa di dalam setiap mesyuarat ada barakahnya dan ada kejayaannya. Ini adalah kerana mesyuarat adalah sunnah Rasulullah SAW dan dalam setiap sunnah ada kejayaan. Selain itu kita juga boleh melakukan solat istigharah dan tunggulah keputusan dari Allah SWT dalam apa bentuk yang akan menggerakkan kita untuk bertindak. Ada kemungkinannya situasi yang buntu adalah kurniaan Allah SWT untuk kita beralih atau berpindah ke tempat lain yang telah ditaqdirkan AllahSWT dalam kamus hidup kita.
Sekian, Wallu'alam.
Salam.
ReplyDeleteBetapa bermanfaatnya perkongsian ini, Alhamdulillah.
Terima kasih banyak kak. Semoga Allah memberkati.
Salam kak, best pengisian entry akak ni, saye suke... saye ni jenis panas baran kak, dulu tak macam ni tapi ade sekali tu Allah uji saye, dan sejak tu tatacara hidup saye berubah, makin nakal, solat tak tentu, cakap merapu, panas baran, buat benda2 tak elok... puas saye muhasabah dan pujuk hati saye, tapi entah lah... bile diri makin jauh dari Tuhan, sejahat mana pun kite akan tetap terasa bahananya, nau'zubillah :(
ReplyDeletesalam kak fatim... mekasih sudi datang blog baru saye yang baru,he3... memang le tak de sape ziarah, baru malam semalam saye buat dan pagi tadi baru publish semua koleksi saye sekaligus... kat situ semua koleksi republikn9 saye korek balik dan buat satu lagi blog khas supaya tak caca marba... dan supaya senang saye atau sape2 nak buat rujukan... sy gune dummy account utk blog baru ni. Anyway thanks atas segala nasihat dan teguran akak, saye hargai sangat2 :)
ReplyDeletesalam sejahtera..bagus ilmu yang terdapat didalam blog ini.izinkan saya untuk mengunakan sebagai rujukkan.terima kasih.
ReplyDeleteTerima kasih atas perkongsian saya mohon izin share beberapa ayat ya sis
ReplyDelete