TAG META

Friday, June 3, 2016

CERITA RAMADHAN

Ramadhan sudah semakin hampir. Seperti biasa, aktiviti yang sama sepanjang Ramadhan akan berulang.

Saya sebenarnya amat berharap agar semakin ramai dalam kalangan Asatizah yang menyampaikan tentang kelebihan-kelebihan khidmat dalam bulan Ramadhan. Kebiasaannya dalam bulan Ramadhan, para Asatizah banyak membicarakan tentang kelebihan melakukan ibadat-ibadat khusus wajib dan sunat, tentang pahalanya dan lain-lain. Sangat kurang yang membicarakan tentang fadhilat memberi khidmat kepada orang berpuasa. Maka umat Islam akan menumpu kepada memperbanyakkan amal-amal ini sahaja dan terlupa tentang satu lagi kelebihan iaitu khidmat.

Saya fikir, elok juga dibincangkan tentang kelebihan khidmat ini, untuk menaikkan semangat dan membantu mengekalkan keikhlasan kepada kaum wanita yang sememangnya penat di bulan Ramadhan. Celik je mata diawal pagi, dah sediakan sahur untuk keluarga. Anak-anak pula bukan makan dengan seronok, tetapi makan dengan monyok, mata tertutup, mengamuk bila kejut, komplen makanan tak sedap : 'mama, ini je ke sahur kita?', lepas tu pergi kerja,balik rumah masak lagi dan sediakan makanan pula untuk berbuka. Dah berbuka cuci pinggan periuk belanga. Ada suami yang membantu, tetapi ramai juga yang kurang membantu sebab mereka pun penat dan kalut nak mengejar amalan khusus.

Saya teringat tahun lepas ada status tentang kepenatan wanita menyediakan sahur untuk anak-anak. 'Matan'nya tu saya tak berapa ingat, tapi perkataan 'cong-ceng,cong-ceng bersilat di dapur tu saya ingat. Ramai juga yang mempertikai tentang keikhlasan si penulis status kerana berkongsi keletihannya tu, kononnya bila dah komplen, kuranglah pahala.

Bagi saya, bukanlah itu isunya. Manusia bila penat lelahnya dihargai, dia tidak akan bising. Dia bising bila dia rasa penat lelahnya tu percuma aje. Macam tak ada apa-apa nilai. Semua orang sibuk cerita fadhilat amalan khusus. Amalan yang tak khusus ni, tak ada apa-apa ke?

Sebenarnya amalan khidmat ini sangat besar ganjarannya. Tapi tidak dibicarakan dengan terperinci oleh para ilmuan. Justeru, kita yang bukan ilmuan ni, seringkali terlupa.

Saya nak cerita, memanglah tak sesuai, sebab tak ada tauliah. Nanti tersilap kongsi hadith maudu' naya pulak. Apakata para Asatizah yang terbaca status ni, buat sedikit kajian hadith dan sirah dan war-warkan tentang kelebihan ini. InsyaAllah,Ramadhan kali ni, para ibu-ibu akan memberi khidmat sambil tersenyum sampai ke telinga...

"SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL MUBARAK"

Cerita Dalam Sebuah Masjid.

Dalam sebuah masjid, seorang lelaki menegur rakan sekolah lamanya. Dia begitu kagum melihat rakan sekolah lamanya diikuti anaknya ke masjid, duduk dalam majlis ilmu, diam tak ganggu sesiapa.
"Baguihlah anak hang, boleh duduk diam dalam masjid, anak aku tak mau langsung ikut aku mai masjid. Mintak tolong apa pun tak mahu. Asyik dengan hp saja."

" Anak aku tu belajar di madrasah," kata rakan sekolah lamanya.

"Hmm...anak aku tu, aku pernah nak hantar dia kat madrasah. Baru sajabagitau, dia kata 'kalau abah hantag cek pi madrasah, cek lari balik', hmm.." mengeluh lelaki itu bila membayangkan anak2nya di rumah yang huru hara, ada yang asyik dengan motor, ada yang asyik dgn hp. Rugged dan tak hormat ibu bapa. Kalau nak dibandingkan dengan anak kawan lamanya, jauh api dari pemanggang!

Soalannya, apa yang sebenarnya telah hilang?

Jawapannya, masa yang lalu.

Pada saat anak itu sangat perlu kedua orang tuanya di sisi, kedua2nya sangat sibuk dengan kerjaya, atas alasan mahu membina keluarga. Apakah sebenarnya keluarga itu terbina atau hanya timbunan harta yg terbina?

Anak-anak ini teraniaya dgn tidak dididik sempurna, mereka diswastakan penjagaannya di tangan orang lain sebahagian besar dari kehidupan mereka. Tautan hati mereka dengan ibu bapa sudah pupus. Mereka dididik dengan diberi material dan gajet. Lalu, apabila ibu bapa perlukan bantuan mereka, mereka mengharapkan imbalan dari setiap bantuan itu. Semuanya mesti ada upah. Ibu bapa tidak lagi penting kerana dahulu, semasa mereka perlukan kedua ibu bapa, mereka juga tidak dianggap lebih penting dari kerjaya. Inilah hasil didikan dari acuan material dan lepas tangan kedua ibu bapa.

Bak kata ustaz Pahrol Mohd Juoi, siapa yang menyemai ombak, dialah yang menuai badai.

Meluntur buluh biarlah dari rebungnya.

Cerita anak kawan sekolah lamanya yang taat dan baik itu...

Mereka hidup susah. Pernah mendapat peluang untuk bekerja, namun kerana memikirkan kebajikan anak-anak, hanya isterinya yg bekerja. Dia hanya bekerja menternak ayam secara kecil-kecilan dan membuat kerja kampung. Bukan dia tak boleh kerja, tetapi pendapatan isteri lebih tinggi. Kalau kedua2 kerja, urusan anak dan ibu yang sakit akan terabai. Salah seorang mesti duduk di rumah kerana peranan di rumah itu begitu besar impaknya dalam pembinaan keluarga. Biar malu dan biar dikutuk orang. Inilah persetujuan yg telah dibuat hasil mesyuarat mereka suami isteri dan inilah hasilnya.

Wednesday, April 13, 2016

SI KAYA YANG TERLUPA

SI KAYA YANG TERLUPA

Hegemoni
Apabila si miskin diperas peluhnya, 
Demi menambah harta si kaya-raya

Segala jalan rezeki ditutup 
Justeru memaksa si miskin bekerja dan bekerja
Hanya untuk si kaya-raya
Menimbunkan busut hartanya

Ketika si miskin mengeluh pada hidupnya yang sempit
Pada makannya yang tidak cukup
Pada hutang piutang yang tak terbayar
Si kaya-raya memikir ligat 
Bagaimana mengekalkan status dan laba 
Pada hari-hari gawat
Biarpun dengan mengutip cebisan rezeki milik si miskin
Pada jalan yang penuh dosa

Si kaya-raya terlupa 
Bahawa nikmat itu dikurnia kepada sesiapa sahaja
Kecuali pada si tamak haloba

Lihat saja kudapan si kaya-raya 
Hanya roti gandum penuh, tanpa palitan kaya
Dan secangkir kopi pahit, tanpa gula
Manakan bisa,
Semua itu racun yang meregut
Tubuhnya yang kian mereput

Mahligai yang bertingkat
Tak mampu dijelajahi kerana jalannya bertongkat
Tilam beralas bulu angsa berlapis herba 
Tidak mampu lagi mengundang lena

Terkebil-kebil matanya
Menatap siling berhias kerawang reinessance
Yang tidak lagi memberi makna
Saban hari
Gelisah menanti terbit mentari

Sedang si miskin begitu mudah dibuai mimpi
Walau tidur beralas gumpalan kain 
Berbantalkan lengan
Di atas simen yang sejuk membeku

Sikaya terlupa
Nikmat bukan pada harta yang menimbun
Yang direngkuh siang dan malam
Pada jalan yang pincang
Tapi pada mereka yang tahu bersyukur
Dan mencari sekadar yang halal
Pada jalan bersuluh taqwa.

Tuesday, April 12, 2016

Redha dahulu, InsyaAllah Allah SWT akan fahamkan.

Seorang isteri mengadu kepada saya tentang rumahtangganya. Menurutnya, dialah yang  mengeluarkan belanja makan minum keluarganya sehari-hari. Duit gaji suaminya hanya cukup untuk membiayai kereta, rumah yang mereka duduki sekarang dan rumah yang baharu dibeli. Semua harta itu adalah di atas nama suaminya, selebihnya adalah untuk orang tua suaminya di kampung. Seolah-olah untuk dirinya, tiada apa-apa, melainkan komitmen yang tidak berbelah bahagi. Kesempitan hidupnya tidak terperi, sehingga ada kalanya terpaksa mengambil duit tabung anak-anak untuk membeli makanan.

Sungguh kasihan. Tetapi ini bukanlah cerita yang pertama saya dengari seperti ini. Kes begini sudah menjadi lumrah dalam institusi keluarga Islam di Malaysia.
Sangat sukar untuk memberi buah fikiran dan cadangan kerana tibulasi yang menimpa rumah tangga orang lain, walaupun ‘outcome’nya kelihatan sama, puncanya seringkali berbeza. Plot-plotnya, watak-wataknya dan pokok penceritaannya seringkali sangat subjektif dan tidak semudahnya dibandingkan dengan perjalanan cerita dalam rumahtangga kita.

Kita boleh memberi pandangan, tetapi samada ia praktikal untuk diamalkan, tidak dapat dipastikan.
Dalam Islam, dari segi hukum, nafkah adalah tanggungjawab suami. Isteri yang tidak mendapat nafkah, boleh menuntut haknya, malah boleh melepaskan diri dari ikatan itu jika masalah itu berpanjangan.

Itu adalah hukum. Tetapi ada satu rahsia lain yang lebih bermakna si situ.
Sebagai contoh, kita tidak wajib periksa sesuatu makanan yang bercop logo halal itu sama ada ia benar2 halal ataupun tidak. Cukup sekadar meletakkan kepercayaan kepada cop logo halal JAKIM di luar bungkusan. Namun begitu, orang yang warak sangat berhati-hati dan tidak sembarangan mengambil sesuatu makanan kecuali jika mereka benar-benar yakin. Dua-dua pihak pun betul, tetapi yang kedua lebih baik.

Berbalik kepada perbincangan asal tadi. Hukum pemberian nafkah itu terletak pada suami, tetapi jika  tidak berlaku begitu, anda ada dua pilihan. Memilih untuk menuntut hak, atau REDHA. Dua-dua pilihan pun betul. Tetapi yang kedua lebih baik.
Kefahaman tentang natijah di sebalik ujian yang Allah SWT berikan kepada seseorang manusia tidak akan diperolehi melainkan melalui jalan sabar dan redha. Ia bukan mudah untuk dilakukan. Setiap manusia memerlukan insan lain untuk memperingatkan tatkala ia sakit ditimpa ujian, hatta orang agama sekalipun.

Si isteri mungkin tidak mendapat nafkah dari suaminya, tetapi Allah SWT membuka jalan rezeki dari pelbagai sumber lain yang tidak disangka-sangka, dan sememangnya itulah yang berlaku. Telah banyak cerita-cerita rezeki terpijak saya dengari dari isteri yang berbelanja untuk keluarga, termasuklah pengalaman saya sendiri. Yakinlah, rezeki Allah SWT sememangnya luas. Isteri juga perlu meluaskan fahamannya tentang rezeki. Sihat juga rezeki, anak-anak juga rezeki, suami yang rajin menolong didapur juga rezeki. Mertua yang baik juga rezeki.
Kita tidak tahu walau sejengkalpun, apakah untung nasib kita pada hari esok. Untuk memahami takdir bukanlah sekadar sehari dua. Mungkin natijah itu hanya jelas setelah kita berusia lanjut. Sebab itulah kita perlu letakkan YAKIN terlebih dahulu, kerana penilaian ke atas ujian dalam kehidupan sangat memakan masa untuk difahami.

Pertama, yakinlah dalam setiap ujian pasti ada hikmah disebaliknya.

Keduanya, ujian tanda kasih Allah SWT terhadap hambaNya.

Ketiga, ujian adalah pintu kepada rezeki yang lebih baik.

Sebagai mengubat hati,  isteri juga perlu belajar mencari kebaikan lain dalam diri suaminya. Jika kelemahannya dari sudut pemberian nafkah, pasti sekali ada terselit kebaikan-kebaikan lain dalam dirinya. Jangan membandingkan untung nasib kita dengan pasangan lain. Walaupun kita nampak pasangan lain lebih hebat, yakinlah, mereka juga ada ujian-ujian yang perlu mereka hadapi. Cuma masalah itu tidak tampak jelas di mata kita kerana mereka tidak ceritakan pada kita. Boleh jadi masalah yang mereka hadapi lebih teruk dari kita.

Sememangnya isteri mempunyai alasan yang cukup kuat untuk meletakkan kesalahan ini atas suami. Namun seringkali, menang dalam penghujahan juga tidak mampu memperbaiki situasi yang telah berlaku, malah lebih menerukkan lagi keadaan sedia ada.  Bukan mudah mengubah orang lain, yang lebih mudah untuk diubah adalah diri kita sendiri. Kitalah yang perlu beradaptasi.

Dalam pada itu, jangan berputus asa menegur dan memanjatkan doa. Jika tiada jalan teguran melalui kita, carilah orang yang dipercayai untuk menyampaikannya dan sampaikanlah dengan cara yang baik dan berhikmah. Sebaiknya biarkan teguran itu kelihatan bersahaja, tidak seperti teguran dan lebih kepada berkongsi pendapat. Seringkali lelaki lebih suka mendapat buah fikiran dari temannya berbanding isterinya sendiri.

Syukurlah dengan sekadar yang ada, nescaya sedikit itu sudah cukup untuk membahagiakan dirimu. Yang pasti, setiap kebaikan yang kita lakukan, kebaikan jualah yang akan kembali kepada kita. Jika kita ingin Allah menyertai kita dalam setiap usaha kita, kita perlu amalkan bersifat SABAR. Yakinlah, janji Allah SWT ada di situ.
Mudah-mudahan saya sendiri dapat lebih memahami dan mengamalkan perkara ini setelah menyampaikannya kepada orang lain.


Mana Janjimu


MANA JANJIMU?

Kamu itu kononnya mahu memberi
Tetapi seakan tidak mengizini
Lorongnya ada pintunya tidak dibuka
Tapi diucap selamat datang semua
Silalah mencuba semoga berjaya

Ikhlaskah kalian ingin memberi?
Kenapa terlalu sukar mendapatkan yang kami hajati
Bukankah kamu juga yang memberi janji
Kononnya dipermudahkan jalan ini
Lorong yang lama kononnnya sukar dan penuh ranjau
Lorong ini kononnya mudah berhias kemilau
Mengapa tuturmu dalih berdalih?
Hingga kami ini menjadi letih

Kamu itu sudah sampai
Kami di belakangmu terkapai-kapai
Janji yang dulu tidak lebih untuk dirimu
Kami ini bagai tertipu

Kalaulah  bisa berpatah kembali
Sudah lama kamu kami tinggal pergi.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...