TAG META

Monday, August 9, 2010

Manusia dan Ramadhan...

Salam wahai teman,

Ramadhan semakin hampir. Pelbagai reaksi daku lihat pada manusia di sekelilingku. Ada yang gembira, ada yang resah dan ada yang tiadapun menyedari betapa hampirnya Ramadhan itu.

Bagi segolongan manusia, Ramadhan itu begitu penuh bermakna. Makna untuk mereka meluangkan masa dengan semangat yang membara untuk memperbanyakkan amal ibadah. Sebagai bekalan di negeri akhirat. Ramadhan adalah bulan dilipat gandakan pahala. Amalan wajib dan sunat diberi pahala yang berganda-ganda dan kemuncaknya adalah malam Lailatul Qadar. Dan hari lebaran adalah hari untuk golongan ini merayakan kemenangan. Bagi golongfan ini kehadiran Ramadhan dialu-alukan. Pemergiannya ditangisi.

Bagi golongan yang seterusnya. Ramadhan adalah bulan makan. Semua yang terlintas dicari, semua yang terlihat dibeli. Saban petang tangan dipenuhi beg plastik berisi makanan. Padahal bila berbuka sahaja, seteguk minuman dan sepinggan makanan telah lebih dari mencukupi. Lapar mata, kata orang selatan. Namun hakikatnya, nafsu masih bermaharajalela. Syaitan diikat, timbul pula penipu kedua. Itulah nafsu yang menipu. Malam-malan tertentu dipenuhi dengan bufet Ramadhan dihotel-hotel yang menawarkan pelbagai pilihan manakan yang tidak mampu untuk dinamakan, tidak pun pasti status halalnya. Hasilnya, masa ibadat menjadi singkat. Ramadhan bulan ibadat bertukar menjadi bulan tanpa berkat.

Bagi segolongan manusia lain, kehadiran ramadhan ditunggu-tunggu. Inilah masanya untuk mereka menjana seberapa banyak pendapatan. Siang dan malam diletih lelahkan oleh hasilan makanan dan juadah yang pelbagai bentuk dan rasa. Hampirnya raya kesibukan bertambah terasa. Tempahan kuih muih dikejari siang dan malam. Begitu juga tempahan baju raya. Bagi golongan ini Ramadhan adalah bulang yang paling sibuk. Rezeki melimpah ruah. Malang ada diantaranya yang hampir meminggirkan ibadah demi untuk mendapatkan secebis nikmat dunia yang fana ini.

Bagi segolongan lagi, Ramadhan datang dan pergi saban tahun, tiada apa-apa beza. Bagi mereka, hadir atau tidaknya Ramadhan tidak memberi apa-apa makna. Makan dan minum seperti biasa malah menjadi satu keseronokan kerana berjaya menyorokkan dosa yang mereka lakukan. Apa diharap malu pada manusia kerana siapalah manusia jika tiadanya malu pada Rabb yang maha mencipta. Penghujung Ramadhan adalah keseronokan pada mereka kerana Ramadhan akan berlalu pergi. Hari Raya tiada apa makna pada mereka, tiada kegembiraan, semuanya biasa sahaja kerana kegembiraan itu telah dicabut oleh Allah Azzawajalla bagi mereka yang tidak berpuasa.

Duhai teman. Renungilah. Mana satukah pilihan kita???
Wasallam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...